Sawa batik pula masuk sekolah

Sawa batik pula masuk sekolah

KOTA BAHARU, 27 April – Seekor ular sawa batik sepanjang lebih lima meter ditemui di kawasan Sekolah Kebangsaan Pasir Pekan, Tumpat pagi tadi.

Guru Besar Mohd Hasmy Hashim berkata ular berkenaan ditemui di dalam longkang oleh pengawal keselamatan kira-kira 6.30 pagi.

“Nasib baik kerana kebanyakan murid masih belum tiba di sekolah. Pihak sekolah terus menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia untuk menangkap reptilia berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Ahmad Yani Muhammad berkata pihaknya menyarankan agar sekolah  mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan mereka.

Beliau berkata pihak keselamatan sekolah juga perlu membuat rondaan di awal pagi bagi mengesan jika ular memasuki kawasan sekolah.

Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Tanah Merah pula dilapor menerima 88 kes berhubung penemuan ular oleh para penduduk sejak Februari lepas.

Pegawai Operasinya Mohd Fadli Hassan berkata pada Febuari, pihaknya menerima 28 panggilan, 33 panggilan pada Mac dan 27 panggilan dalam bulan ini sehingga semalam.

“Kes terbaru ialah semalam di mana pihak kami menangkap seekor tedung selar sepanjang tujuh meter di sebuah rumah di Kampung Lubuk Agol, Chawas,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA