Saya akan menang perangi barah – Cruyff

Saya akan menang perangi barah – Cruyff

BARCELONA, 20 Nov (AFP) – Legenda bola sepak Belanda, Johan Cruyff melahirkan keyakinan dan kesungguhan untuk bangkit mengatasi penyakit barah paru-paru yang dihidapinya.

“Bagi saya, ia satu ‘peperangan’ namun saya bersungguh-sungguh dan yakin saya akan memenangi peperangan ini,” kata bekas bintang Ayax dan Barcelona berusia 68 tahun itu.

Ia adalah penampilan umum pertama Cruyff sejak berita menyebut beliau kini diserang penyakit bulan lalu.

Cruyff, yang menjadi kapten Belanda pada Piala Dunia 1974 dan salah seorang yang memperkenalkan falsafah permainan ‘total bola sepak’, tampil di Barcelona dalam satu majlis pemeteraian perjanjian membabitkan yayasan miliknya dengan sebuah universiti di bandar raya berkenaan.

Kelihatan sihat dan tersenyum, Cruyff mendedahkan beliau sudah menjalani proses awal kimoterapi.

Johan Cruyff tiba untuk sidang media Institut Johan Cruyff dan Autonomous University of Barcelona (UAB) mengenai kerjasama pembelajaran, penyelidikan dan perpaduan sosial di Barcelona, kelmarin. – AFP
Johan Cruyff tiba untuk sidang media Institut Johan Cruyff dan Autonomous University of Barcelona (UAB) mengenai kerjasama pembelajaran, penyelidikan dan perpaduan sosial di Barcelona, kelmarin. – AFP

“Saya berasa selasa selepas kali pertama. Saya tiada masalah. Dalam kotak fikiran saya ialah kimoterapi sebagai ‘kawan’ saya kerana ia di dalam tubuh anda untuk membunuh barah,” katanya yang awal minggu ini mengundurkan diri daripada jawatan penasihat bagi kelab Ajax. “Saya amat yakin semuanya akan menjadi bertambah baik,” katanya.

Pemenang tiga kali anugerah berprestij Ballon d’Or ketika beraksi bersama Barcelona dari 1973 hingga 1978, beliau turut membantu kelab itu menjuarai La Liga untuk musim pertamanya di Camp Nou dengan membenam 5-0 kelab pesaing nombor satu, Real Madrid di gelanggang lawan.

Cruyff kemudian menjadi jurulatih Barca dari 1988 hingga 1996 dengan Barca memenangi trofi Juara-Juara Eropah buat kali pertama pada 1992.