Saya akan terus menjadi malim gunung – Ridwan

Saya akan terus menjadi malim gunung – Ridwan

KUNDASANG, 9 Jun (Bernama) – “Saya tidak akan tinggalkan Gunung Kinabalu dan akan terus mendaki,” kata Ridwan Kohinin, 25, seorang daripada malim Gunung Kinabalu yang terselamat dalam kejadian gempa bumi Jumaat lepas.

Ridwan, antara malim gunung yang membantu menyelamatkan pendaki yang cedera dan gambarnya ketika mengangkat seorang murid sekolah dari Singapura yang cedera, menjadi viral dalam media sosial.

Ridwan yang berasal dari Kampung Lembah Permai di Kundasang berkata pekerjaan malim gunung sudah sebati dalam dirinya sejak dia berusia 18 tahun.

“Saya membesar di kawasan kaki Gunung Kinabalu dan akan terus menjadi malim gunung selagi mampu,” katanya kepada Bernama selepas berpeluang makan tengah hari bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Taman Kinabalu selepas majlis penyampaian bantuan kepada mangsa dan waris malim Gunung Kinabalu di sini hari ini.

Ridwan yang terlibat dalam operasi mengangkat mayat pendaki berkata dia turut merasa trauma akibat insiden gempa bumi itu, bagaimanapun semangatnya semakin pulih hari ini dan boleh tidur lena serta bergaul dengan orang ramai.

Perdana Menteri Malaysia beramah mesra dengan Ridwan Kohinin (dua dari kanan) malim gunung yang menjadi wira operasi menyelamat. – Bernama
Perdana Menteri Malaysia beramah mesra dengan Ridwan Kohinin (dua dari kanan) malim gunung yang menjadi wira operasi menyelamat. – Bernama

“Tempoh tiga hari selepas gempa bumi itu, susah saya mahu cakap keadaan saya ketika itu,” katanya sambil menjelaskan bahawa dia dan malim gunung lain berusaha untuk membawa turun pendaki yang cedera.

Ketika kejadian gempa bumi itu, Ridwan antara malim gunung yang berada di kawasan puncak Gunung Kinabalu dan dalam perjalanan ke kawasan Laban Rata membawa kumpulan pendaki.

“Saya dipertanggungjawabkan membawa turun seorang budak lelaki yang cedera dari Pondok Layang-Layang sebelum berjumpa dengan kumpulan penyelamat di Pondok Pelusa.

“Biarpun berhadapan cabaran dan kesukaran, saya bersyukur dapat membawa turun budak lelaki yang cedera itu,” katanya.

Ridwan berkata dia menerima panggilan daripada bapa budak lelaki itu dari Singapura yang mengucapkan terima kasih kerana menyelamatkan anaknya.