Saya bukan ahli silap mata – Conte

Saya bukan ahli silap mata – Conte

TA’QALI, Malta, 30 Mei – Kemenangan 1-0 Itali ke atas Scotland dalam aksi pemanas badan menjelang Euro 2016 di stadium Ta’Qali, Malta mencetus inspirasi buat skuad kendalian Antonio Conte (gambar).

Penyerang Graziano Pelle memecah kebuntuan 12 minit selepas rehat dengan sepakan lencong menewaskan David Marshal sebaik mendapat umpanan daripada Daniele De Rossi.

Scotland, yang gagal mara ke pusingan akhir Euro 2016 bulan depan, hanya sesekali menguji benteng Itali yang dibarisi tiga tonggak Juventus.

Sepakan sudut pertama Scotland hanya muncul pada minit ke-70 dan lapan minit kemudian, penjaga gol Itali Gianluigi Buffon dipaksa meregangkan badan menerusi percubaan Matt Ritchie yang sedikit tersasar.

Italy Soccer Euro2016

Itali memulakan kempen Kumpulan E Euro 2016 di Perancis bertemu pasukan ranking kedua dunia, Belgium di Lyon pada 13 Jun sebelum berdepan Sweden dan Ireland.

“Adakah kami akan tampil cemerlang pada aksi pertama menentang Belgium? Saya bukan ahli silap mata,” kata Conte selepas persembahan cemerlang anak buahnya ketika menewaskan Scotland.

Itali seharusnya menang lebih selesa tetapi pemain tengah Emanuele Giaccherini gagal menyempurnakan tiga peluang di babak pertama, dengan Marshall dua kali menyelamatkan situasi ketika percubaan pertama. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA