Saya bukan bercuti – Gerrard

Saya bukan bercuti – Gerrard

LOS ANGELES, 8 Julai (AFP) – Steven Gerrard mahu membuktikan bahawa kritikan terhadap keputusannya berhijrah ke Los Angeles Galaxy adalah salah dan semakin teruja untuk beraksi di MLS Amerika Syarikat.

Bekas pemain Liverpool dan kapten England berusia 35 tahun itu menegaskan, dia dalam motivasi yang tinggi dan mahu menambah nilai dalam biodata peribadinya dengan menyertai MSL berbanding menerima cek bayaran serta menikmati panas matahari keindahan di California.

“Semuanya untuk kejayaan saya. Saya datang sini untuk menang,” kata Gerrard dalam sidang media di Stadium StubHub Center LA Galaxy.

“Jika sesiapa di luar sana yang fikir saya datang ini hanya untuk percutian atau mengambil bayaran cek terakhir, saya akan buktikan mereka adalah salah,” katanya.

Pemain tengah itu memutuskan untuk mengikuti jejak langkah bekas rakan dalam skuad England, David Beckham, apabila memilih untuk ke LA Galaxy November tahun lalu selepas mendapati dia bukan lagi pemain pilihan automatik di Liverpool.

Steven Gerrard bergambar dengan jersi No.8 selepas mengadakan sidang akhbar di StubHub Center di Carson, California semalam. – AFP
Steven Gerrard bergambar dengan jersi No.8 selepas mengadakan sidang akhbar di StubHub Center di Carson, California semalam. – AFP

Ketika ramai yang beranggapan termasuk pengurus Chelsea, Jose Mourinho, bahawa Gerrard masih perlu bermain sekurang-kurangnya semusim lagi di Liga Perdana Inggeris, bekas kapten Liverpool itu yakin keputusannya untuk meninggalkan Anfield adalah tepat pada masanya.

Gerrard berkata, dia mempunyai pilihan untuk menyertai kelab lain di England atau Eropah namun dia sebenarnya tidak mahu bersaing menentang Liverpool.

“Saya ada pilihan untuk kekal di Liga Perdana Inggeris, ia ada pilihan sertai kelab Eropah namun saya tidak mahu bersaing melawan Liverpool.