Saya calon ‘paling boleh dipercayai’ – Bility

Saya calon ‘paling boleh dipercayai’ – Bility

CAPE TOWN, 27 Okt (Reuters) – Presiden Persatuan Bola Sepak Liberia, Musa Bility, salah seorang daripada lapan potensi calon bagi jawatan presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), berkata beliau adalah satu-satunya pilihan yang paling boleh dipercayai bagi kepemimpinan badan induk bola sepak dunia tersebut.

Bility berkata beliau sudah pun menerima lima pencalonan yang diperlukan, yang datang daripada luar rantau barat Afrika, demi membolehkannya bertanding selepas pencalonan ditutup semalam bagi pengundian FIFA, yang dijadualkan berlangsung di Zurich pada 26 Februari untuk menggantikan Sepp Blatter.

Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) menolak untuk menyokong bidaan Bility untuk bertanding bagi jawatan berkenaan.

“Saya tidak melihat sebarang pencabar yang sebenar kerana semua yang lain yang bertanding ada memainkan sebahagian peranan (dalam skandal FIFA) dan jika kita perlu melaksanakan pembaharuan bola sepak, tidak seorang pun daripada mereka perlu diberikan hak untuk mengendalikan pertubuhan berkenaan,” beliau memberitahu Perbadanan Penyiaran British (BBC) dalam temu ramah yang disiarkan hari ini.

Kombinasi gambar fail (dari atas kiri) menunjukkan David Nakhid, Gianni Infantino, Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa, Jerome Champagne, Musa Bility, Putera Ali bin al-Hussein, Tokyo Sexwale, dan Michel Platini. – AFP
Kombinasi gambar fail (dari atas kiri) menunjukkan David Nakhid, Gianni Infantino, Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa, Jerome Champagne, Musa Bility, Putera Ali bin al-Hussein, Tokyo Sexwale, dan Michel Platini. – AFP

“Mereka sendiri yang menjadi punca masalah yang dihadapi hari ini. Jadi mereka tidak boleh menjadi penyelesai.”

Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Sheikh Salman Bin Ebrahim Al Khalifa dari Bahrain, presiden UEFA yang digantung Michel Platini, Setiausaha Agung UEFA, Gianni Infantino, ahli politik Afrika Selatan, Tokyo Sexwale, bekas pemain midfield Trinidad dan Tobago, David Nakhid, bekas timbalan setiausaha agung FIFA, Jerome Champagne dan bekas naib presiden FIFA, Putera Ali Bin Al Hussein dari Jordan adalah calon-calon lain bagi jawatan tersebut.

Bility berkata beliau bersedia menarik diri jika Afrika menyokong pencalonan Sexwale.