Saya datang untuk menang – Pirlo

Saya datang untuk menang – Pirlo

NEW YORK, 26 Julai (AFP) – Bintang hebat Itali, Andrea Pirlo menyatakan reputasinya tidak akan membantu meningkatkan minat terhadap Major League Soccer sebaliknya persembahan di padang bersama kelab baru New York City FC.

“Saya bukannya datang ke sini untuk bersara,” kata pemenang Piala Dunia Itali berusia 36 tahun itu.

“Saya hadir ke sini kerana mahu bermain dan ingin menang. Objektif pertama pastinya meraih kemenangan.”

Sepantas mana Pirlo akan berpeluang melakar kemenangan bersama NYCFC masih menjadi persoalan.

Selepas beberapa sesi latihan bersama rakan sepasukan barunya, dia dan jurulatih NYCFC, Jason Kreis menyatakan masih terlalu awal sama ada dia akan melakukan penampilan sulung pagi esok apabila NYCFC menerima kunjungan sebuah lagi pasukan baru francais MLS, Orlando City di Stadium Yankee.

Andrea Pirlo bermain bersama pemain muda semasa melawat kem bola sepak di New York 23 Julai lalu. – Reuters
Andrea Pirlo bermain bersama pemain muda semasa melawat kem bola sepak di New York 23 Julai lalu. – Reuters

“Saya bercuti selama sebulan,” katanya. “Saya turut berlatih sepanjang bulan itu dan berasa amat bagus tapi tunggulah apa yang akan berlaku Ahad ini.”

Pirlo akan berganding dengan penyerang Sepanyol, David Villa dan bekas pemain tengah Chelsea dan England, Frank Lampard, yang turut mungkin melakukan penampilan sulung dalam MLS pagi esok selepas penampilannya tertangguh kerana kecederaan.

“Saya fikir kami amat berharap ada peranan buatnya, tapi kami tunggu dan lihat,” ujar Kreis. Pirlo berkata, dia sedar sebahagian daripada tugasnya di Amerika Syarikat adalah meningkatkan profil bola sepak di negara itu namun percaya dia boleh melakukannya menerusi sumbangan bermakna di padang.

ARTIKEL YANG SAMA