Saya kian pulih, kata Najib

Saya kian pulih, kata Najib

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau kian pulih daripada pembedahan untuk membuang ketumbuhan kecil pada tangan kanannya di Hospital KL (HKL) semalam.

Dalam mesej tweet hari ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong yang mendoakan semoga beliau cepat sembuh, Najib berkata: “Saya kian pulih, terima kasih atas ingatan tuan. Jumpa lagi.”

Lee, dalam mesej tweet beliau semalam, mendoakan agar Najib segera sembuh dan gembira mendengar prosedur itu berjaya dijalankan.

HKL dalam kenyataannya, berkata Najib menjalani pembedahan sebagai pesakit luar, dan telah pulang ke kediamannya.