‘Saya lebih hebat daripada Messi’

‘Saya lebih hebat daripada Messi’

LONDON, 4 Nov (Agensi) – Bintang penyerang Portugal, Cristiano Ronaldo mendakwa, dia adalah pemain yang lebih hebat berbanding pencabar utamanya Lionel Messi.

Perdebatan mengenai siapa pemain terbaik dunia sudah lama dibincangkan selepas Ronaldo dan Messi saling bertukar gelaran Pemain Terbaik Dunia. Dalam temu bual bersama akhbar Sepanyol, AS, Ronaldo menegaskan, dia tidak peduli dengan perbandingan yang sering dilakukan terhadap dirinya dan Messi.

“Tidak mengganggu saya. Kalau anda tengok semula prestasi saya sepanjang lapan tahun, saya sentiasa berada di tahap terbaik dan itu bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Beritahu saya, siapa lagi yang boleh melakukan perkara seperti itu?

“Pada saya, menjadi pemain No. 1 atau No. 2 bergantung kepada beberapa perkara, seperti apakah anda memenangi trofi atau tidak. Mungkin pada anda, Messi adalah yang terbaik tetapi dalam fikiran saya, saya adalah yang terbaik. Pada saya, semua orang patut memikirkan tentang diri mereka sendiri dan itulah yang saya lakukan untuk mencapai tahap sekarang,” katanya.

Dalam temu bual yang sama, Ronaldo turut mendedahkan, dia tidak banyak menonton perlawanan bola sepak di televisyen meskipun amat meminati sukan tersebut.

Cristiano Ronaldo (kiri) dan Lionel Messi (kanan).
Cristiano Ronaldo (kiri) dan Lionel Messi (kanan).

“Bola sepak adalah hidup saya. Perkara yang paling saya sayangi. Namun, saya bukan peminat yang suka menonton perlawanan di televisyen. Saya suka perlawanan besar, tetapi secara amnya apabila berada di rumah saya lebih gemar melakukan perkara lain,” katanya lagi. Bintang Real Madrid itu juga mendedahkan, setiap kali Messi naik ke pentas untuk menerima trofi Ballon d’Or, hatinya sangat sakit.

“Sukar untuk saya melihat Messi menerima beberapa trofi Ballon d’Or. Saya akan terfikir: Mengapa saya datang ke majlis gala ini?”.

Bagaimanapun, akhbar yang berpangkalan di Madrid, Marca membuat ramalan mengejutkan apabila tidak meletakkan Ronaldo sebagai tiga calon utama untuk merebut kejuaraan Ballon d’Or tahun ini. Sebaliknya, trio Barcelona iaitu Messi, Neymar dan Luis Suarez dijangka mendominasi podium. Messi, 28, dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Dunia empat kali pada 2009, 2010, 2011 dan 2012, manakala Ronaldo, 30, memenanginya dua kali iaitu pada 2013 dan 2014.

ARTIKEL YANG SAMA