Saya letak Perancis di peta dunia, kata Ibra

Saya letak Perancis di peta dunia, kata Ibra

STOCKHOLM, 13 Nov (AFP) – Zlatan Ibrahimovic semalam menegaskan bahawa dia bukan sahaja cukup cergas tetapi telah berjaya meletakkan Ligue 1 Perancis di peta bola sepak dunia.

Semasa membuat persediaan untuk play-off Euro 2016 menentang Denmark, penyerang Paris Saint Germain itu berkata masa beliau bersama kelab Perancis cukup berjaya.

“Saya telah meletakkan Sweden pada peta dunia dan sekarang saya juga telah melakukan perkara serupa kepada Perancis. Jadi saya sangat gembira dengan keadaan itu,” kata Ibrahimovic, yang telah menjaringkan 115 gol di PSG sejak berpindah ke ibu negara Perancis pada 2012.

Penyerang berusia 34 tahun itu yang sebelum ini bermain untuk Juventus, Inter, AC Milan dan Barcelona, ​​membuat dakwaan itu selepas ditanya sama ada usia mempengaruhi prestasinya.

Ibrahimovic tersenyum semasa mengadakan sidang akhbar semalam sebelum menentang Denmark untuk pusingan pertama play-off Euro 2016 di Stockholm esok. – AFP
Ibrahimovic tersenyum semasa mengadakan sidang akhbar semalam sebelum menentang Denmark untuk pusingan pertama play-off Euro 2016 di Stockholm esok. – AFP

“Saya ada 11 perlawanan dalam pertandingan ini (Ligue 1Perancis), sembilan gol dan membantu lima jaringan. Saya mempunyai statistik yang lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.

“Jadi, jika saya sudah tua dan semakin lemah tetapi masih membuat apa yang saya lakukan, bayangkan jika saya muda dan bertenaga. Apa yang saya akan lakukan?”

Ibrahimovic menjaringkan lapan gol untuk Sweden dalam aksi kelayakan Euro 2016 dan memegang rekod jaringan kebangsaan 59 gol daripada 109 penampilan antarabangsa.

Sweden akan berdepan Denmark pada perlawanan pertama play-off esok (Sabtu) dengan perlawanan kedua di Copenhagen pada 17 November.