‘Saya masih hidup’ – Ratu Elizabeth

‘Saya masih hidup’ – Ratu Elizabeth

LONDON, 28 Jun (AFP) – “Saya masih hidup,” sindir Ratu Elizabeth ketika ditanya keadaan kesihatan baginda, pada pusingan pertama kemunculan baginda selepas pungutan suara Britain untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU).

Jawapan hambar itu adalah beberapa insiden dramatik yang melanda Britain sejak kebelakangan ini yang menyaksikan peletakan jawatan Perdana Menteri, mata wang jatuh pada paras terendah dalam tempoh 30 tahun dan England dikalahkan Iceland dalam Piala Eropah, baru-baru ini.

Terkini, kenyataan penuh sindiran itu terkeluar daripada mulut Ratu ketika pertemuannya dengan bekas anggota unit separa tentera Tentera Republikan Ireland yang kini menjawat jawatan Menteri Utama, Martin McGuinness di wilayah yang di bawah pentadbiran Britain itu.

“Helo, adakah tuanku sihat?” kata McGuinness bertanya sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan baginda dalam pertemuan yang disiarkan menerusi siaran televisyen itu.

“Saya masih hidup. Kami sedikit sibuk kerana terlalu banyak yang perlu diurus.” jawab Ratu Elizabeth dengan tawa sambil bersalaman.

Tidak jelas sama ada komen yang diberikan ratu itu merujuk kepada situasi politik semasa di Britain atau berkemungkinan sambutan ulang tahun terkini baginda.

Setakat ini baginda tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pungutan suara Britain untuk keluar daripada EU, hasil yang bakal mewujudkan ketegangan di negara itu.