Saya tidak mampu cipta keajaiban pantas – Klopp

Saya tidak mampu cipta keajaiban pantas – Klopp

LONDON, 12 Okt – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menggesa para peminat serta media tempatan supaya bersifat lebih realistik dan bersabar kerana dia tidak mampu mencipta keajaiban dengan begitu pantas.

Bagaimanapun, bekas pengendali Borussia Dortmund itu yakin dia mampu meningkatkan prestasi skuad The Reds pada musim ini.

“Para penyokong perlu bersabar dan lebih realistik kerana saya tahu ramai yang begitu teruja apabila mengetahui saya dilantik menjadi pengurus Liverpool yang baru.

“Namun begitu, saya tidak mampu mencipta magis dengan begitu cepat. Sekiranya anda mahu melihat Liverpool lebih berjaya dalam tempoh 25 tahun, saya hanya mampu memberikan sedikit sahaja harapan.

“Anda tidak boleh menganggap saya sebagai tuhan kerana apabila pasukan bimbingan saya tewas suatu hari nanti, anda akan salahkan saya. Jangkaan awal adalah sangat penting dalam hidup atau dalam semua perkara. Anda boleh berbicara berkenaan bola sepak setiap masa, namun jangkaan adalah perkara yang paling penting apabila berada ­­ dalam realiti,” ujarnya.

Gambar fail menunjukkan Jurgen Klopp (tengah) bergambar bersama-sama pengerusi kelab Liverpool, Tom Werner (kanan) dan pengarah urusan, Ian Ayre (kiri) selepas sidang media mengumumkan pelantikan beliau di Anfield, Liverpool, barat laut England. – AFP
Gambar fail menunjukkan Jurgen Klopp (tengah) bergambar bersama-sama pengerusi kelab Liverpool, Tom Werner (kanan) dan pengarah urusan, Ian Ayre (kiri) selepas sidang media mengumumkan pelantikan beliau di Anfield, Liverpool, barat laut England. – AFP

Pada Jumaat lalu, Liverpool secara rasminya melantik Klopp sebagai pengurus baru ­ setelah bertindak memecat Brendan Rodgers sebaik pasukan The Reds mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang Everton pada aksi Liga Perdana England Ahad lepas.

Mengulas lanjut, pengendali berusia 48 tahun itu juga turut mengakui cabaran besar bakal ­ diterima sebaik bersetuju menjadi pengurus Liverpool.

“Saya tidak boleh ubah segala-galanya dalam satu hari. Tetapi saya boleh berjanji akan melakukan perubahan sebanyak yang mungkin dengan syarat beri sedikit masa kepada saya,” ujarnya. – Agensi