Sayangi anak-anak istimewa

Sayangi anak-anak istimewa

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Nov – Seramai 20 orang mahasiswa-mahasiswi Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) baru-baru ini telah mengadakan Program Titian Kasih di Pusat Persatuan Kanak-kanak Cacat (KACA).

Di samping untuk beramal, program ini juga bertujuan untuk melihat lebih dekat situasi di Pusat Persatuan KACA di samping dapat beramah mesra dengan warga persatuan khususnya anak-anak istimewa.

Pengerusi Majlis, Awang Wan Amirul Akmal bin Haji Zaini semasa menyampaikan ucapannya berkata melalui program ini juga mereka akan dapat mengetahui dan mempelajari situasi dan keadaan kanak-kanak di Pusat KACA.

“Dengan adanya pengalaman ini, kami akan dapat mengenali aspek-aspek pendidikan dan psikologi yang berkaitan dengan anak-anak istimewa,” jelas Awang Wan Amirul lagi yang mana peserta-peserta program ini merupakan bakal guru yang berkemungkinan akan berdepan dengan kanak-kanak istimewa.

IKHLAS.. Seorang mahasiswa Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) memberikan buah tangan kepada seorang kanak-kanak istimewa semasa Program Titian Kasih di Pusat Persatuan Kanak-kanak Cacat (KACA) kelmarin.
IKHLAS.. Seorang mahasiswa Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) memberikan buah tangan kepada seorang kanak-kanak istimewa semasa Program Titian Kasih di Pusat Persatuan Kanak-kanak Cacat (KACA) kelmarin.
Mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB bergambar ramai bersama kanak-kanak istimewa dan warga Pusat KACA.
Mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB bergambar ramai bersama kanak-kanak istimewa dan warga Pusat KACA.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pengarah Urusan KACA, Haji Awang Abdul Alim bin Haji Awang Othman dan turut diundang ialah Penolong Pensyarah KUPU SB, Sesi 2014/2015, Awang Ali Hardi bin Haji Mohamed.

Dalam program berkenaan, beberapa aktiviti telah dijalankan termasuk zumba, permainan-permainan termasuk hantar bola, bina piramid dan mencari objek.

Acara turut menyaksikan penyampaian hadiah dan derma daripada pelajar DTPU 13 Usuluddin kepada persatuan berkenaan.

Antara objektif program ini adalah untuk menanam sifat kasih sayang dan saling memahami dalam kalangan pelajar KUPU SB dan kanak-kanak istimewa, untuk mendapatkan pengetahuan tentang etika yang diperlukan untuk berinteraksi dan hidup bersepadu dengan kanak-kanak istimewa, serta menanam sifat tolak ansur, bertoleransi dan bersungguh-sungguh dalam melayani karenah kanak-kanak istimewa.