Sayangi & hargai hidupan liar

Sayangi & hargai hidupan liar

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 4 Jun – Dalam usaha meningkatkan kesedaran orang awam supaya menjaga dan memelihara alam sekitar termasuk hidupan liar, Bahagian Hidupan Liar Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama (KPSSU) telah menganjurkan Program Jerayawara Kesedaran ke atas Hidupan Liar bagi Sekolah-Sekolah Menengah Daerah Belait, yang diadakan di Dewan Kemasyarakatan Kampung Pandan dekat sini, hari ini.

Program yang dikendalikan dengan usaha sama Syarikat Brunei Methanol Sendirian Berhad (BMC) ini membawa tema Sayangi dan Hargai Hidupan Liar Negara Kitani, dan mengajar para hadirin mengenai peranan, tugas dan tanggungjawab pengurusan hidupan liar di negara ini termasuk perundangan, penguatkuasaan dan program pengurusan serta pemulihan penyu laut.

Perasmian program berkenaan telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Othman, selaku tetamu kehormat yang juga meluangkan masa menyaksikan pameran-pameran yang disertai oleh Bahagian Hidupan Liar KPSSU, dam pengusaha-pengusaha eko-pelancongan serta Kumpulan BruWILD.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat BMC, Awang Daud bin Haji Jais dalam ucapan alu-aluannya, menyatakan harapan supaya program jerayawara itu akan menepati objektifnya dalam melahirkan dan menjadikan masyarakat setempat lebih penyayang terhadap hidupan liar di samping dapat mengongsikan maklumat yang diperolehi kepada rakan-rakan persekolahan serta juga ahli keluarga.

Menurutnya lagi, program itu merupakan kesinambungan kepada program jerayawara bagi sekolah-sekolah rendah dan swasta di seluruh negara yang telah diadakan pada tahun 2013 dan 2014.

Haji Haris (tengah) bersama para tetamu yang lain hadir di jerayawara tersebut.
Haji Haris (tengah) bersama para tetamu yang lain hadir di jerayawara tersebut.

“Siri program jerayawara ini adalah untuk meningkatkan kesedaran awam bagi menjaga dan memelihara alam sekitar termasuk hidupan liar,” ujarnya.

Sebagai salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Syarikat BMC dan kerjasama dengan Bahagian Hidupan Liar KPSSU, program ini telah berterusan sejak tahun 2013, dan pada tahun ini, program tersebut telah diadakan di 11 buah sekolah menengah di Daerah Belait, dan telah dibahagikan kepada tiga fasa.

Majlis hari ini turut menyaksikan tayangan klip video dan taklimat oleh pegawai-pegawai Bahagian Hidupan Liar KPSSU mengenai dengan peranan, dan fungsi bahagian tersebut, selain undang-undang dan penguatkuasaannya, serta penerangan mengenai Program Pemuliharaan dan Pengurusan Penyu.

BruWILD, sebagai badan bukan kerajaan yang aktif dalam memberikan pendidikan dan pengetahuan mengenai hidupan liar ke sekolah-sekolah di negara ini, turut menyampaikan taklimat di majlis itu.

Di samping itu, Syarikat BMC dan Bahagian Hidupan Liar KPSSU juga akan menganjurkan Pertandingan Klip Video Mengenai Hidupan Liar bagi Sekolah-Sekolah Menengah Daerah Belait dan pemenangnya akan diumumkan semasa majlis berkenaan yang akan diadakan pada bulan Mac 2016, setiap sekolah akan menghantar satu penyertaan bagi pertandingan tersebut.

Ia dihasratkan sebagai aktiviti berterusan dalam dua tahun, untuk mencapai kesedaran pelajar-pelajar di negara ini.

Fasa kedua program jerayawara ini dirancang akan diadakan di Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar Kuala Belait pada 13 Jun ini.

ARTIKEL YANG SAMA