Sayangilah negara, pertahan kemerdekaan

Sayangilah negara, pertahan kemerdekaan

KUALA NERUS, 28 Ogos – Lagu nyanyian wanita komunis semasa mendodoikan anaknya yang bagaikan menanam semangat agar negara ini dirampas meskipun telah mencapai kemerdekaan, benar-benar merobek hati dan jiwa bekas komando Rejimen Gerak Khas Zainal Ariffin Mamat.

Hampir 40 tahun telah berlalu namun nyanyian dan lirik lagu itu masih terngiang-ngiang serta menjadi igauan ngeri buat Zainal Ariffin, 61, yang pernah menyertai gerakan menjejak komunis di beberapa negeri termasuk Perak dan Kedah.

“Pernah satu ketika dalam operasi menentang komunis pada 1975 di Air Kala, Lenggong, Perak, terdengar seorang perempuan menyanyi ketika mendodoi anaknya di dalam buaian dengan kata-kata ‘tidurlah wahai anakku, satu hari besok, Malaysia kita punya’.

“Komunis telah menanam semangat untuk merampas negara ini daripada pemerintah sejak dari buaian lagi dan kini jika anak itu masih hidup, dia sudah berumur kira-kira 40 tahun,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Bekas komando Rejimen Gerak Khas, Zainal Ariffin Mamat, 61, me-nunjukkan beberapa foto beliau ketika menyertai Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada tahun 1972 di kediamannya pada 25 Ogos lalu. Beliau menyertai RAMD kerana terpengaruh semangat dan kegigihan Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman yang berusaha berjuang memerdekakan negara ini. – Bernama
Bekas komando Rejimen Gerak Khas, Zainal Ariffin Mamat, 61, me-nunjukkan beberapa foto beliau ketika menyertai Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada tahun 1972 di kediamannya pada 25 Ogos lalu. Beliau menyertai RAMD kerana terpengaruh semangat dan kegigihan Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman yang berusaha berjuang memerdekakan negara ini. – Bernama

Mengimbas semula perjuangannya menentang komunis, Zainal Ariffin yang lebih mesra dipanggil Pak Zainal, berkata semasa operasi di hutan Gubir, Kedah yang merupakan lubuk komunis, dua daripada 30 anggotanya telah terkena jerangkap samar dan terpaksa dihantar ke Hospital Alor Setar.

“Sepatutnya kita hantar mereka mendapat rawatan di Hospital Pulau Pinang, namun risikan mendapati di hospital itu ada pegawai perubatan yang prokomunis.

“Jika ada anggota tentera yang cedera perlu dipotong sedikit anggota badan, tetapi pegawai itu akan memotong lebih daripada yang sepatutnya. Jadi kita hantar ke Hospital Alor Setar,” katanya yang berkhidmat sebagai komando selama 19 tahun.

Pak Zainal berkata pada mulanya beliau menyertai Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) kerana terpengaruh dengan bapa kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang berusaha berjuang memerdekakan negara ini dan selepas itu bertukar kepada pasukan komando dalam unit tempur. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA