Sazali cabar keputusan rayuan

Sazali cabar keputusan rayuan

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) – Jaguh bina badan Malaysia, Sazali Samad akan mencabar keputusan rayuan hukuman penggantungan selama empat tahun yang dikenakan ke atasnya kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Switzerland, dalam masa terdekat.

Keputusan Sazali untuk membawa kes rayuannya itu di CAS kerana mendakwa Persatuan Bina Badan Malaysia (PBBM) tidak mengikut peraturan yang terkandung dalam Kod Agensi Antidoping Dunia (WADA) 2015 dalam mengendalikan proses rayuannya.

Menurut WADA, Artikel 13.2.2 menetapkan bahawa pendengaran terhadap rayuan perlu dibuat oleh pihak Jawatankuasa Rayuan dan anggota jawatankuasa perlu terdiri daripada mereka yang tidak berkepentingan serta adil dalam membuat keputusan rayuan.

Artikel tersebut juga memberi hak kepada atlet untuk melantik peguam untuk mewakili mereka dalam proses rayuan dan menetapkan bahawa keputusan rayuan perlu dibuat secara bertulis berserta alasan-alasan terhadap keputusan mereka.

“Saya tidak menerima, sekali gus menolak keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Rayuan PBBM. Pihak saya tidak pernah dipanggil untuk pendengaran terhadap rayuan dan saya juga tidak dimaklumkan barisan ahli jawatankuasa rayuan PBBM.

Sazali Samad menyuarakan perkara tersebut dalam satu sesi sidang media bersama para pemberit. – Bernama
Sazali Samad menyuarakan perkara tersebut dalam satu sesi sidang media bersama para pemberit. – Bernama

“Peguam saya juga tidak diberi ruang dan peluang untuk memberi hujah serta alasan terhadap pengurangan hukuman di hadapan jawatankuasa tersebut,” kata juara 10 kali Mr Universe, yang ditemani pengurus dan peguamnya dalam sidang akhbar di sini Jumaat.

PBBM mengumumkan penggantungan selama empat tahun terhadap Sazali selepas beliau gagal dalam ujian doping yang dijalankan oleh Agensi Antidoping Malaysia (Adamas) pada 1 Sept tahun lepas.

Sazali turut kesal dengan keputusan PBBM yang hanya memaklumkan keputusan rayuannya itu adalah kekal tanpa menyatakan sebarang alasan untuk rujukannya dan juga peguam beliau, Mohd Norasmawi Norani.

Sementara itu, Mohd Norasmawi berkata pihaknya telah menghantar surat rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan PBBM pada 9 Jan, bagaimanapun hanya menerima surat rasmi keputusan rayuan yang bertarikh 26 Mac pada Khamis lepas.

“Saya menerima surat rasmi keputusan rayuan Sazali bertarikh 26 Mac pada 31 Mac selepas saya maklumkan kepada media mengenai kelewatan PBBM membuat keputusan sehari sebelumnya. Kita akan bawa kes ini ke CAS,” kata Mohd Norasmawi.

Media melaporkan, Naib Presiden PBBM Datuk Wira Masood Zainal Abidin yang mempengerusikan Jawatankuasa Rayuan itu memutuskan untuk mengekalkan hukuman ke atas Sazali selepas bersidang sebanyak dua kali.

Sazali pernah memenangi kejuaraan Mr Universe sebanyak 10 kali, iaitu di Melaka pada 2000; Moscow, Rusia (2004); Ostrava, Republik Czech (2006); Jeju, Korea Selatan (2007); Dubai (2009); Varanasi, India (2010); Melaka (2011); Bangkok, Thailand (2012), Budaors, Hungary (2013) dan Mumbai, India (2014).

Anak jati Batu Pahat, Johor itu yang digelar ‘Orang Besi Malaysia’, pernah meraih sembilan kali gelaran Mr Asia pada 1996, 1998, 1999, 2000, 2004, 2009, 2010, 2012 dan 2014.

ARTIKEL YANG SAMA