Sazali Samad belum sedia buat rayuan

Sazali Samad belum sedia buat rayuan

KUALA LUMPUR, 29 Dis – Selepas seminggu dikenakan hukuman penggantungan selama empat tahun, jaguh bina badan negara Sazali Samad masih belum memutuskan sama ada untuk membuat rayuan atau tidak berhubung kegagalan ujian dopingnya. Sazali, 48, dikenakan hukuman gantung empat tahun bermula 22 Sept lepas iaitu tarikh keputusan ujian berkenaan didapati positif.

Ketika dihubungi Bernama, atlet itu berkata beliau masih memerlukan sedikit masa untuk membuat keputusan yang tepat mengenai rayuan penggantungannya. Beliau diberikan tempoh selama tiga minggu bermula hari hukuman tersebut dijatuhkan iaitu pada 21 Dis lepas sehingga 10 Jan tahun hadapan untuk mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bina Badan Malaysia (PBBM).

“Saya masih fikirkan lagi,” katanya ringkas dan menegaskan beliau tidak mahu diganggu dan minta diberikan masa untuk menenangkan fikiran setelah melalui detik hitam dalam karier bina badannya. Sazali sebelum ini menerima keputusan tersebut tanpa bantahan dan atlet itu juga tidak berhasrat membuka ujian sampel B. PBBM menerusi Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas) melakukan ujian doping pada 1 Sept lepas sebelum kontinjen negara berlepas ke Tashkent, Uzbekistan bagi menyertai Kejohanan Asia Ke-49 dari 29 Sept hingga 5 Okt. Untuk rekod, Sazali tidak pernah terkecuali melakukan ujian doping bersama Adamas dan setiap tahun beliau akan diuji sekurang-kurangnya dua kali sebelum menyertai Kejohanan Asia dan Kejohanan Dunia. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA