Sazali Samad positif doping

Sazali Samad positif doping

KUALA LUMPUR, 17 Dis – Teka-teki mengenai siapa atlet bina badan yang positif ujian doping akhirnya terjawab apabila juara Mr Universe sebanyak 10 kali, Sazali Samad dilihat menghadap Jawatankuasa Disiplin Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) di Kompleks Sukan Desa Tasik, Sungai Besi, sebentar tadi.

Sebelum ini, Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) menjalankan ujian doping di luar pertandingan ke atas Sazali pada 1 September lalu di dan mendapati atlet yang berumur 47 tahun itu didapati positif menggunakan steroid.

Susulan itu, atlet berprofil tinggi itu diarahkan untuk membela diri, hari ini.

Namun begitu, Setiausaha Kehormat MBBF, Lt Kdr (B) Kamaruzaman Kadir enggan menamakan Sazali sebagai atlet yang didapati positif, dengan mengatakan identiti dan tindakan disiplin hanya akan diumumkan dalam satu sidang media pada Isnin atau Rabu, minggu depan.

“Kita sudah bersidang dan perkara ini kami akan bawa kepada pengetahuan Exco MBBF dulu dan kita akan umumkan selepas itu, namun tarikhnya belum pasti sama ada pada 21 atau 23 Disember ini (Isnin atau Rabu).

Sazali Samad ketika menerima ‘Sportsmanship of the year’ pada tahun 2013. - Agensi
Sazali Samad ketika menerima ‘Sportsmanship of the year’ pada tahun 2013. – Agensi

“Pada masa itu kami akan mengadakan sidang media dan meminta atlet itu duduk bersama kita,” katanya selepas jawatankuasa disiplin itu bersidang dengan dipengerusikan Mej Jeneral (B) Datuk Dr Ahmad Badrus Othman.

Katanya, hukuman yang bakal dikenakan jika didapati bersalah adalah mengikut peraturan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA), yang menaikkan hukuman penggantungan selama empat tahun mulai awal Januari ini berbanding hanya dua tahun pada sebelum ini.

“Tunggulah sidang media nanti. Ia adil bagi atlet itu sendiri untuk bercakap terpulang kepada dia. Dia akan buat pengakuan atau sebaliknya tapi kita akan beri dia peluang untuk akhiri spekulasi ini,” katanya.

Katanya, atlet berkenaan juga tidak mahu ujian dilakukan sekali lagi terhadap Sampel B malah ujian di luar pertandingan yang dilakukan terhadap atlet itu adalah perkara lazim yang dilakukan MBBF. – BH