Sazzy Falak perkenal koleksi raya

Sazzy Falak perkenal koleksi raya

Oleh Imelda Groves HA

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jun – Rakyat Brunei akan berpeluang membuat tempahan awal koleksi pakaian Hari Raya Aidilfitri daripada usahawan yang juga selebriti Malaysia, Sazzy Falak sebelum pelancarannya di Kuala Lumpur.

Peminat tempatan boleh membuat tempahan awal koleksi raya beliau secara dalam talian bagi mendapatkan koleksi pakaian terkini dan menarik daripada selebriti itu.

Sazzy Falak mengongsikan perkara itu semasa ditemu bual baru-baru ini ketika menyertai Festival Hijab Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIHF). Menurutnya, jenama yang dilancarkan kelak adalah gaya urban, namun ia juga mencirikan unsur-unsur tradisional Asia yang penuh dengan cetakan warna-warna cantik ukiran batik.

Pengacara TV Malaysia yang tidak asing lagi itu sememangnya menggemari batik dengan cetakan vintaj dan dengan pilihan elemen menari, Sazzy percaya rekaannya mampu menambat hati pelanggan.

“Rekaan adalah gabungan gaya tradisi dan moden kerana saya mahu wanita berasa selesa memakainya dalam apa jua majlis, bukan hanya pada musim perayaan, malah dalam apa-apa sahaja acara,” katanya.

Sazzy Falak (tengah) bergambar kenangan bersama peminatnya semasa jamuan minum petang.
Sazzy Falak (tengah) bergambar kenangan bersama peminatnya semasa jamuan minum petang.

Bercakap mengenai kerjayanya pula, Sazzy yang dikurniakan anak perempuan kembar hasil perkongsian hidup dengan Nazril Idrus, mengakui mengimbangi kerjaya sebagai pengacara TV, pereka fesyen dan seorang ibu serta isteri agak mencabar baginya terutamanya di bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Menurutnya, bagi mengatasi masalah dan cabaran yang dihadapinya, beliau benar-benar menekankan pentingnya pengurusan masa.

“Adalah penting untuk mempunyai perancangan yang tepat (diari) untuk merancang hari atau minggu kita, sebelum ke-sibukan melanda dan akhirnya menyelesaikan kerja-kerja di saat akhir.

“Apabila bekerja dengan pasukan berbeza, saya juga belajar untuk mengagihkan kerja untuk sama-sama mengelak keadaan jadi huru-hara.”

Beliau turut mengakui media sosial banyak membantu dalam pemasaran perniagaan namun memberi amaran bahawa kredibiliti ‘alat’ ini perlahan-lahan menjadi kucar-kacir apabila terdapat iklan palsu kerana ramai yang menggunakannya.

“Untuk bersaing, kita perlu lebih bijak dan kreatif menyi-arkan produk dalam talian dan bermatlamat. Kita perlu lain daripada yang lain,” tegasnya.

Dalam KLIHF kali ini, beliau menampilkan fesyen urban terbaru di bawah jenama Street Fashion KL (SFKL) oleh Sazzy Falak dengan kerjasama Sakura Malaysia, syarikat aksesori berpangkalan di Malaysia.

Menurut Sazzy lagi, kerjasama itu mendapat sambutan memberangsangkan daripada masyarakat Brunei semasa pameran itu kerana rekaan beliau habis dijual pada hari kedua. Beliau turut mengambil kesempatan itu untuk mengadakan jamuan teh bersama peminat tempatan beliau di Momo, Hotel Starlodge, Jerudong.

ARTIKEL YANG SAMA