SBJK Buskers,...

SBJK Buskers, kumpulan muzik remaja berbakat besar

KUALA LUMPUR – Seawal pukul 6.30 pagi, Fazri, 14, Norman, 16, Yusri, 15 dan Aqasha, 14, (semuanya bukan nama sebenar) akan mengambil bas dari rumah mereka di Jinjang, Kepong untuk ke sekolah yang terletak di Jalan Chow Kit.

Sekolah yang dimaksudkan ialah Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) , sekolah yang ditubuhkan atas inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memberi kemudahan pendidikan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik termasuk anak jalanan sekitar kawasan Chow Kit.

Walaupun jarak antara rumah dan sekolah agak jauh, ia bukan suatu masalah bagi empat remaja ini kerana ada sesuatu yang amat menarik dan menyeronokkan menanti mereka di sekolah. Mereka adalah pelajar kelas muzik dan anggota kumpulan SBJK Buskers. Kelas ini dipimpin guru muzik, Cikgu Remyhano Yusop.

Semangat ingin mencuba bermain alat instrumen membuatkan Fazri, Norman, Yusri dan Aqasha bertekad untuk menyertai kelas itu walaupun mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan serta pengalaman dalam bidang muzik.

Bermain muzik hilangkan tekanan

Mungkin untuk orang lain, belajar muzik sesuatu yang biasa tetapi bagi pelajar SBJK, ia adalah peluang yang amat bernilai tambahan mereka belajar secara percuma. Semua anak di sekolah ini terdiri daripada kumpulan keciciran pendidikan asas akibat masalah kemiskinan, tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan gelandangan.

Mereka semua menganggap ahli kumpulan itu sebagai keluarga kedua mereka memandangkan kebanyakan masa dihabiskan bersama dalam sesi latihan di dalam studio.
Mereka semua menganggap ahli kumpulan itu sebagai keluarga kedua mereka memandangkan kebanyakan masa dihabiskan bersama dalam sesi latihan di dalam studio.

Keadaan latar belakang yang sedemikian membuatkan kanak-kanak ini bertekad mengubah nasib diri dan tidak hairanlah apabila Norman dan rakan-rakannya kini sudah pandai bermain alat muzik. “Setiap kali saya berjalan di sekitar sekolah ini, saya akan tengok antara celahan tingkap kelas muzik di sini dan melihat pelajar lain bermain alat muzik. Mereka kelihatan gembira sehingga timbul niat di hati untuk turut sama menyertai mereka.

“Bermula daripada itu, saya nekad untuk mendaftarkan diri di sekolah ini dan kini saya berjaya menguasai tiga alat instrumen iaitu keyboard, dram dan gitar dengan bantuan guru muzik kami,” kata Norman sewaktu menceritakan detik awalnya sebelum menyertai kumpulan muzik itu kepada Bernama.

Apabila diajukan soalan mengenai siapakah idolanya dalam dunia muzik, Norman lantas menjawab; “Saya tidak mempunyai idola kerana saya mahu berusaha dan membuktikan kepada diri saya terlebih dahulu yang saya mampu menjadi idola kepada orang lain kelak,” ujarnya yang bercita-cita mahu menjadi pemuzik. Turut berkongsi cita-cita sama sudah pasti adik bongsunya, Aqasha yang kini berada di Tingkatan Dua sekolah itu.

Aqasha dan rakan-rakannya sebelum ini sering menghabiskan masa bermain gitar dan menyanyi di kaki lima. Walaupun tidak pandai bermain gitar, remaja ini menjadikannya sebagai batu penghalang untuk bermain muzik.

“Pertama kali menyertai kelas muziki, saya rasa sukar untuk mempelajari setiap kod gitar tetapi hasil tunjuk ajar cikgu, dalam beberapa bulan saya sudah tahu bermain lebih daripada lima buah lagu,” kata kanak-kanak bertubuh kecil ini sambil tersenyum.

Bagi Aqasha, Norman dan ahli-ahli kumpulannya yang lain, ketika ditanya apakah yang membuatkan mereka memilih untuk bersekolah dan memilih untuk belajar muzik, masing-masing memberikan jawapan yang sama iaitu bermain muzik dapat menenangkan hati dan membuatkan mereka dapat melupakan seketika kesusahan hidup yang dialami.

Mungkin untuk orang lain, belajar muzik sesuatu yang biasa tetapi bagi pelajar SBJK, ia adalah peluang yang amat bernilai tambahan mereka belajar secara percuma.
Mungkin untuk orang lain, belajar muzik sesuatu yang biasa tetapi bagi pelajar SBJK, ia adalah peluang yang amat bernilai tambahan mereka belajar secara percuma.

SBJK Buskers bagaikan keluarga kedua

Kumpulan SBJK Buskers yang sebelum ini dikenali sebagai ‘Bandana Buskers’ ditubuhkan pada 2013 hasil inisiatif Kementerian Pendidikan dan ahlinya terdiri daripada pelajar kelas muzik sekolah itu. Selain Fazri, Norman, Yusri dan Aqasha, empat lagi ahli SBJK Buskers ialah Zaleha, 17, Afif, 17, Syahireen, 17, serta Muhaimin, 13.

Mereka semua menganggap ahli kumpulan itu sebagai keluarga kedua mereka memandangkan kebanyakan masa dihabiskan bersama dalam sesi latihan di dalam studio. Shireen yang satu-satunya vokalis kedua dan pemain alat muzik tamborin kumpulan ini berkata sesi kelas muzik diadakan setiap hari Isnin sehingga Khamis, bermula pada 11.40 pagi hingga 1 petang.

“Setiap daripada kami akan bermain drum, gitar seperti akustik, bass dan elektrik, keyboard, shaker, cajon dan lain-lain, mengikut minat serta kebolehan masing-masing. “Dalam kelas, kami akan berlatih bermain pelbagai jenis lagu dan selalunya kami akan sentiasa hadir dan fokus ketika sesi latihan di dalam kelas. Ini ditambah dengan karenah kawan-kawan yang pelbagai menjadikan hubungan erat antara kami seperti sebuah keluarga,” katanya.

Bagi guru muzik SBJK Buskers, Remyhano Yusop, setiap pelajar yang menyertai kelas ini akan diuji terlebih dahulu untuk bermain mana-mana alat instrumen yang diminati mereka dan beliau akan melatih pelajar berkenaan sehingga menjadi mahir.

“Anggota bagi SBJK Buskers sentiasa berubah setiap tahun berikutan ada yang telah tamat sekolah dan sebab-sebab lain. Namun, kesemua mereka jenis yang cepat belajar dan tidak sukar untuk melatih mereka bermain muzik. “Setakat ini tiada sebarang masalah dalam mengajar mereka kerana semuanya jenis yang berdisiplin dan tidak cerewet,” katanya.

Menurut beliau, setiap bulan SBJK Buskers menerima undangan persembahan di majlis keraian seperti majlis kahwin dan majlis berbuka puasa di hotel-hotel selain dijemput oleh pihak televisyen.

Katanya, jemputan persembahan yang dilakukan di luar sekolah turut menjadi pendapatan sampingan buat kumpulan berkenaan. Mereka juga pernah menerima bayaran sehingga RM800 bagi satu persembahan. “Setiap hasil duit yang diterima diagihkan kepada setiap ahli kumpulan dan sebahagian lagi diperuntukkan untuk membeli peralatan dalam studio seperti kerusi dan alat instrumen,” kata Remyhano. – Bernama