SBYLEP kukuhkan hubungan dua hala

SBYLEP kukuhkan hubungan dua hala

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Okt – Golongan belia dari Negara Brunei Darussalam dan Singapura menerusi penyertaan mereka dalam Program Pertukaran Kepimpinan Belia Brunei-Singapura (SBYLEP) bukan sahaja menunjukkan semangat perpaduan dalam kalangan belia di antara kedua-dua negara tetapi mereka juga meningkatkan lagi hubungan yang sedia ada di antara Brunei dan Singapura.

Komitmen yang mereka tunjukkan sepanjang menyertai program itu merupakan satu pencapaian yang amat bermakna dan menepati hasrat program iaitu untuk menggalakkan para belia mengambil peranan aktif dan mengganti golongan terdahulu dalam mengukuhkan hubungan yang sekian lama terjalin serta untuk masa depan hubungan di antara Brunei dan Singapura.

Harapan itu disuarakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah semasa majlis penutupan SBYLEP 2015 di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

Yang Berhormat Pehin berkata, sepanjang program lima hari itu, para peserta program melalui perbincangan yang dijalankan mengenai isu-isu yang diketengahkan iaitu keusahawanan, kekeluargaan dan alam sekitar, amat bertepatan kerana ia merupakan isu yang amat penting bagi mana-mana negara untuk membangun serta menikmati kemakmuran di masa akan datang.

Idea-idea, pengalaman dan amalan terbaik yang dikongsi sepanjang sesi perbincangan, ulas Yang Berhormat Pehin, dipercayai mampu untuk menyatupadukan belia kedua buah negara dalam sama-sama menangani isu-isu yang berkepentingan bersama itu.

Yang Berhormat Pehin menghadiri majlis berkenaan.
Yang Berhormat Pehin menghadiri majlis berkenaan.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta Program SBYLEP.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta Program SBYLEP.

Terdahulu, para peserta program dibahagikan kepada tiga buah kumpulan di mana setiap kumpulan menyampaikan idea dan perbincangan mereka mengenai dengan isu-isu yang dibincangkan iaitu keusahawanan, institusi kekeluargaan dan alam sekitar.

Semasa sesi perkongsian itu, para peserta telah mengongsi pengalaman dan dapatan mereka hasil daripada sesi interaktif mengenai beli di bidang kesukarelawan dalam isu-isu alam sekitar, warisan dan kebudayaan, kemasyarakatan dan keusahawanan belia.

Program itu disertai 30 orang pemimpin belia iaitu 14 orang pemimpin belia Republik Singapura dan 16 orang pemimpin belia Negara Brunei Darussalam di mana mereka mempunyai latar belakang sebagai profesional dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, kepimpinan, keusahawanan, pembangunan masyarakat dan belia, sains dan kesihatan, kesukarelawanan serta juga yang berkaitan dengan hal ehwal kebeliaan.

Para peserta tertarik dengan tayangan klip video mengenai pengalaman mereka menyertai program SBYLEP.
Para peserta tertarik dengan tayangan klip video mengenai pengalaman mereka menyertai program SBYLEP.

Program selama lima hari bermula dari 5 hingga 9 Oktober dan julung-julung kali diadakan di Negara Brunei Darussalam dan kali kedua diadakan dengan edisi pertama telah diadakan di Singapura pada 2014.

Program itu bermatlamat untuk mengukuhkan hubungan dua hala di antara Brunei dan Singapura dengan mempromosikan kesefahaman dan meningkatkan silaturahim dalam kalangan belia yang merupakan pemimpin generasi akan datang daripada kedua-dua negara.

Program itu diharap akan terus dipertingkatkan ke arah menghasilkan pemimpin belia yang berwawasan, berdaya saing, dinamik dan berdikari serta mempunyai rangkaian jaringan yang berpanjangan ke arah pembangunan belia di Brunei dan Singapura.

ARTIKEL YANG SAMA