SC umum entiti tawar pembiayaan syarikat setara

SC umum entiti tawar pembiayaan syarikat setara

KUALA LUMPUR, 20 Sept – Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan mengumumkan entiti terpilih yang menawarkan pembiayaan untuk syarikat setara (peer-to-peer) dalam tempoh beberapa bulan akan datang, kata Pengerusinya Tan Sri Ranjit Ajit Singh.

Beliau berkata permohonan untuk menjadi pengendali pembiayaan berdaftar ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

“Kami mempunyai lima platform ekuiti pendanaan ramai berdaftar yang menarik tujuh penerbit dan mengumpul sebanyak RM4.7 juta,” katanya dalam ucapan pada Forum Ekuiti Swasta Malaysia 2016 di sini hari ini.

Rangka kerja pembiayaan setara ini akan membolehkan pemilik tunggal, perkongsian, perkongsian liabiliti terhad yang diperbandankan, syarikat sendirian berhad dan syarikat tidak tersenarai, mendapat akses pembiayaan berasaskan pasaran bagi membiayai projek-projek atau perniagaan mereka, melalui platform elektronik.

Ranjit turut mengumumkan Capital Venture Malaysia dan Majlis Pembangunan Ekuiti Swasta akan membentuk kumpulan kerja dipacu industri yang ditugaskan untuk mengenal pasti cadangan untuk penambahbaikan dan membina keupayaan dalam modal teroka dan ekosistem ekuiti swasta. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA