SCA panjat syukur pindah lokasi baru

SCA panjat syukur pindah lokasi baru

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Feb – Straight Central Agencies (SCA) hari ini mengadakan majlis doa kesyukuran sempena pemindahan syarikat agensi pelancongan itu ke Unit F9, Block F, Kompleks Setia Kenangan, Kiulap.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Haji Ahmad bin Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Isa. Turut hadir ialah Pengerusi Kumpulan Syarikat-syarikat Adinin, Haji Adnin bin Dato Haji Ibrahim.

Pengarah Urusan SCA, Haji Musa bin Haji Adnin dalam ucapan alu-aluannya mengatakan pemindahan itu adalah untuk keselesaan pelanggan SCA kerana di lokasi baru ini, ruangnya lebih luas, yang mana tingkat atas adalah untuk bahagian pentadbiran dan akaun manakala tingkat bawah adalah bahagian tiket dan umrah serta haji.

Selain itu, ruang tempat meletak kereta juga lebih luas, tambahnya.

Haji Ahmad (hujung kiri), Haji Adnin (kedua kanan), dan Haji Musa ketika bersama-sama memotong reben perasmian.
Haji Ahmad (hujung kiri), Haji Adnin (kedua kanan), dan Haji Musa ketika bersama-sama memotong reben perasmian.

Majlis diserikan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa kesyukuran diikuti dengan pemotongan reben oleh tetamu kehormat, Haji Adnin dan Haji Musa.

Haji Musa ketika ditemu bual wartawan Media Permata berkata, “Pada masa ini kami menawarkan tempahan tiket untuk kunjungan ke seluruh dunia termasuklah kereta, hotel dan haji serta umrah. Kami juga menyediakan pakej outbound dan akan mengembang luaskan lagi aktiviti itu dalam masa terdekat.”

Menurutnya lagi, bagi aspirasi syarikat pada masa akan datang, pelancongan Islam akan menjadi tumpuan promosi syarikat disebabkan pertambahan penduduk Islam di seluruh dunia.

ARTIKEL YANG SAMA