SCB, Hengyi Industries bantu kumpul darah

SCB, Hengyi Industries bantu kumpul darah

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Ogos – Dalam sama-sama membantu mereka yang memerlukan darah Standard Chartered Bank (SCB) Brunei dengan kerjasama Unit Tabung Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) hari ini, telah mengadakan kempen derma darah di cawangan bank berkenaan di Hua Ho Manggis.

Kempen yang bermula jam 2 hingga 4 petang itu telah dikunjungi orang ramai dan para pelanggan bagi sama-sama menderma darah dan menjayakan kempen berkenaan. Menurut Ketua Hal Ehwal Korporat, Marilyn Graeme, kempen itu merupakan usaha sama SCB dengan pihak kementerian dalam sama-sama membantu mereka yang memerlukan pendermaan darah dan juga salah satu acara tahunan bank berkenaan.

Sementara itu, Hengyi Industries turut bekerjasama dengan Unit Tabung Darah, Hospital RIPAS untuk mengadakan kempen seumpamanya yang berlangsung di pejabatnya di Muara, kelmarin.

Seramai 50 orang, yang terdiri daripada warga pengurusan kanan dan kakitangan syarikat berkenaan dan kontraktornya, mendermakan darah dalam kempen berkenaan bagi membantu menyelamatkan nyawa orang lain.

Sebilangan warga Hengyi Industries yang turut menderma darah.
Sebilangan warga Hengyi Industries yang turut menderma darah.
Antara orang ramai yang turut serta menderma darah di cawangan SCB, Hua Ho Manggis.
Antara orang ramai yang turut serta menderma darah di cawangan SCB, Hua Ho Manggis.

Hengyi Industries dalam kenyataannya menyatakan, menurut laporan oleh Medical Daily, menderma darah boleh membantu mengurangkan risiko serangan jantung dan kanser dengan pengurangan paras zat besi yang menyebabkan darah menebal.

Kelikatan darah menentukan pergeseran di antara darah dan saluran darah yang boleh menyebabkan kerosakan saluran berkenaan jika tidak dikawal.

Menurut kenyataan itu lagi, pendermaan darah secara tetap boleh mengurangkan kelikatan darah dan menghapuskan lebihan zat besi yang berpotensi mengoksidakan darah dan menyebabkan penyakit jantung serta kanser.

Timbalan Pengarah Pasukan Pengurusan Projek Bersepadu Hengyi, Shen Xiao Fei memberitahu ini merupakan kempen derma darah pertama mereka sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial.

“Sambutan daripada kakitangan dan rakan-rakan kami sangat menggalakkan dengan seramai 65 kakitangan ikut serta dan berjaya mengumpulkan 50 pain darah,” ujarnya sambil menekankan komitmen mereka kepada masyarakat setempat dan memastikan bekalan darah yang mencukupi di Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA