SCB lancar pelbagai saluran perhubungan

SCB lancar pelbagai saluran perhubungan

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Sept – Sebagai sokongan kepada Global Goals, Bank Standard Chartered (SCB) telah melancarkan perhubungan pelbagai saluran yang meluas kepada 86,000 kakitangannya dan jutaan pelanggannya bagi menyebarkan maklumat mengenai matlamat global pembangunan mapan.

Bank berkenaan merupakan salah satu pengasas bersama Projek Semua (Project Everyone) yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai matlamat-matlamat global berkenaan, mencapai tujuh bilion orang dalam masa tujuh hari.

Pada peringkat global, SCB akan mengaktifkan kempen berkenaan menerusi saluran rangkaian cawangan-cawangannya, platform perbankan dalam talian, mesin-mesin ATM, rangkaian-rangkaian media berbayar dan media sosial untuk mencapai kakitangan dan pelanggan di seluruh dunia.

Sementara itu, laman web yang direka khas iaitu www.sc.com/globalgoals akan membawa kempen berkenaan daripada kesedaran kepada perlaksanaan, menggalakkan kakitangan dan pelanggan memberikan sokongan bagi matlamat yang paling penting bagi mereka.

d’Arcy Lunn memberikan penjelaskan kepada media mengenai SDGs.
d’Arcy Lunn memberikan penjelaskan kepada media mengenai SDGs.

Sehubungan itu, tengah hari tadi, SCB telah mengadakan majlis makan tengah hari bersama para pengamal media sosial berpengaruh untuk berkongsi-sama mengenai Global Goals bagi menyebarkan maklumat melalui pelbagai rangkaian digital dan sosial, di mana taklimat mengenai perkara itu telah disampaikan oleh pengkempen Rakyat Global, d’Arcy Lunn.

Pada majlis itu, beliau telah menjelaskan mengenai Matlamat Pembangunan Mapan (SDGs) yang akan menjadi panduan khususnya kepada penduduk dunia dalam memastikan pembangunan yang mapan dari sekarang hingga 2030.

Menurutnya, SDGs merangkumi 17 matlamat penting dengan memberikan tumpuannya yang utama kepada tiga perkara iaitu untuk membasmi kemiskinan tegar, mengurangkan jurang perbezaan dan memberikan penekanan kepada alam sekitar yang mapan.

Mengulas mengenai erti rakyat global, d’Arcy berkata bahawa tidak ada satu erti yang jelas bagi menerangkan makna sebenar idea itu tetapi ia harus lahir daripada keinginan diri seseorang untuk melakukan perubahan yang boleh memberikan kesan positif bukan sahaja kepada orang di sekeliling tetapi masyarakat global.

ARTIKEL YANG SAMA