SCB lancar promosi simpanan tetap

SCB lancar promosi simpanan tetap

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 April – Bank Standard Chartered (SCB) sedang melancarkan satu promosi simpanan tetap yang menarik untuk pelanggan Priority Banking sekarang dan baru. Pelanggan yang melabur dengan bank sebagai pemegang akaun utama ketika tempoh promosi boleh menikmati promosi deposit setahun sebanyak tiga peratus selama tiga bulan.

Menurut kenyataan dari SCB, pelanggan kini yang ingin mengambil kesempatan ke atas kadar menarik ini juga boleh berbuat demikian dengan membawa masuk $150,000 minimum wang baru (di mana $50,000 perlu diletak dalam Amanah Saham) dalam bentuk deposit dan/atau pelaburan, mulai sekarang sehingga 18 Julai 2016.

Cheok Fui Say, Ketua Produk Runcit dan Segmen, yang dipetik sebagai berkata, “Kadar biasa kami untuk simpanan tetap tiga bulan adalah kurang daripada satu peratus. Sekarang kami akan menawarkan lebih tiga kali ganda daripada kadar simpanan biasa untuk deposit kami dan kami percaya pelabur akan melihat nilai dalam promosi tersebut. Kami ingin menambah jumlah pelanggan kami dan ia harus menggalak pelanggan Priority Banking berpotensi untuk melabur bersama kami dan melihat apabila ia membabitkan produk pelaburan, kami adalah pemimpin pasaran dan kami mempunyai produk paling menyeluruh dalam pasaran.”

Selain daripada promosi tiga peratus setahun, SCB juga akan mengurangkan bayaran minimum mereka untuk pelanggan baru yang ingin menyertai segmen Priority Banking. Pelanggan Priority Banking yang berminat hanya perlu meletak wang baru berjumlah $80,000 minimum dalam bentuk deposit dan/atau pelaburan demi menikmati keahlian percubaan Priority Banking selama setahun.

Eng Siok Tin, Ketua Perhubungan Pelanggan di Brunei-Muara dipetik sebagai berkata, “Kami berasa bangga dengan keupayaan kami menjaga pelanggan kami. Kami mempunyai kumpulan Pengurus Perhubungan yang berdedikasi yang sentiasa bersedia memberikan bantuan kepada pelanggan kami dengan mana-mana keperluan perbankan dan pelaburan mereka dan kami mahu pelanggan berpotensi kami menikmati perkhidmatan yang boleh kami sediakan serta pelbagai produk yang ditawarkan oleh kami.”

Kedua-dua promosi berakhir pada 18 Julai dan pelanggan yang berjaya menyimpan $80,000 akan menerima kad kredit Visa Infinite.

ARTIKEL YANG SAMA