SCB meriahkan Karnival DST 8-10 Disember

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Dis – Bank Standard Chartered (SCB) akan turut sama-sama memeriahkan Karnival DST yang akan diadakan di Taman Permainan Jerudong Park pada 8 hingga 10 Disember dengan menampilkan beberapa tawaran tambah nilai.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan SCB, pemegang kad kreditnya boleh menukar mana-mana pembelian DST yang layak sepanjang Disember kepada pelan ansuran 0% EasyPay dengan pengecualian atau diskaun bayaran pemprosesan.

Bayaran pemprosesan bagi pembelian yang ditukarkan kepada pelan enam bulan akan dikecualikan manakala itu bagi pelan 12 bulan pula akan mendapat harga diskaun 1 peratus berbanding bayaran pemprosesan pada 3 peratus.

Ketua Produk dan Segmen Runcit SCB, Wong Li Li dipetik sebagai berkata, “Karnival DST telah menjadi acara tahunan yang sangat dinanti-nantikan dan kami gembira dapat ikut serta dengan nilai tambah dan tawaran pendaftaran sebagai tambahan kepada pelbagai promosi di karnival berkenaan bagi manfaat bersama pelanggan kami.”

Menurut kenyataan itu lagi, pelanggan kad kredit berpotensi juga boleh mengunjungi petak SCB untuk mendapatkan tawaran pendaftaran kad kredit di mana pemohon yang berjaya yang membuat transaksi dalam masa sebulan menerima kad kredit baru mereka akan mendapat peluang tambahan dalam Promosi Istimewa Kad Hujung Tahun yang sedang berjalan untuk memenangi satu juta Royal Skies Miles.

Pendaftar baru juga boleh membuat penjimatan dengan tiga tahun pengecualian bayaran tahunan dan memilih di antara baucar atau Royal Skies Miles bagi hadiah kemasukan.