SCB raih Anugerah Global Finance

SCB raih Anugerah Global Finance

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Julai – Buat tahun ketiga berturut-turut, Bank Standard Chartered (SCB) Brunei telah memenangi anugerah “Bank Digital Pengguna Terbaik” pada Anugerah Global Finance, yang dianggap salah satu ranking industri utama bagi perkhidmatan dalam dan peranti, setelah memenanginya pada 2013 dan 2014.

Selain Brunei, pasaran lain di mana Standard Chartered beroperasi juga meraih anugerah negara yang sama termasuklah China, Hong Kong, Malaysia, Nepal, Pakistan, Singapura, Korea Selatan, Botswana, Ghana, Kenya, Nigeria, Tanzania, Uganda, Zambia dan Zimbabwe.

Menurut kenyataan SCB Brunei, hari ini, bank-bank yang memenangi anugerah dipilih berdasarkan beberapa kriteria iaitu kekuatan strategi bagi menarik minat dan memberi khidmat kepada pelanggan dalam talian, berjaya membuatkan pelanggan menggunakan tawaran digital, pertumbuhan pelanggan digital, keluasan tawaran produk, bukti nyata manfaat yang diraih daripada inisiatif digital, rekaan dan kefungsian laman sesawang/peranti.

Ketua Pegawai Eksekutif SCB Brunei, Rino (Donny) Donosepoetro, berkata SCB amat gembira memenangi anugerah ini buat kali ketiga berturut-turut.

“Ini adalah bukti kepada kerja dan usaha pasukan kepada keseluruhan proses dalam menyediakan pelanggan kami dengan pengalaman pelanggan unggul menerusi platform digital kami dan saya mahu berterima kasih kepada mereka di atas kerja keras mereka itu.

“Ia juga terus mendorong kami di Standard Chartered di negara ini dan di seluruh dunia untuk meningkatkan lagi tawaran digital kami yang mana pelanggan kami benar-benar menghargainya.

“Ini terbukti dengan bertambahnya pengguna aktif perbankan online yang kami lihat dalam tempoh setahun kebelakangan, yang bererti para pelanggan kami terbuka kepada saluran-saluran itu dan mendapati ia amat senang digunakan,” katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah Penerbitan dan Editorial Global Finance, Joseph D Giarraputo pula berkata, bank-bank terus berusaha mengubah tawaran korporat dan runcit mereka ke dalam pelbagai saluran penyelesaian digital.

Katanya, ketika inovasi-inovasi baru terus berkembang, para pemenang anugerah tahun ini adalah yang mengambil kesempatan daripada kumpulan luas penyelesaian baru di luar sana untuk memberikan pengalaman pengguna terbaik kepada para pelanggan.

Perbankan online SCB adalah platform terjamin yang menggunakan kombinasi teknologi enkripsi dan kata laluan canggih, Secure Socket Layer (SSL) untuk memastikan maklumat dilindungi.

Bagi menambah akaun pihak ketiga atau akaun bank utiliti buat pertama kali, Kod Ketulenan Dua-Faktor (2FA) dihantar melalui pesanan ringkas kepada telefon bimbit berdaftar pelanggan untuk transaksi dibenarkan.

Ketua Pentadbiran, Proses dan Pengalaman Pelanggan, Tan Lee Ngee, berkata “Selain peningkatan saluran digital, kami juga memberi penekanan kepada pendidikan dan membangkitkan kesedaran bank dalaman yang membolehkan kakitangan kami untuk memberi respons dengan mudah dan cepat kepada pertanyaan.”

ARTIKEL YANG SAMA