SCB terima anugerah Global Finance

SCB terima anugerah Global Finance

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Julai – Bank Standard Chartered (SCB) Brunei sekali lagi telah dianugerahkan sebagai Bank Digital Pelanggan Terbaik buat kali keempat berturut-turut oleh Global Finance tahun ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, anugerah Global Finance itu dianggap sebagai ranking industri utama bagi perkhidmatan-perkhidmatan mudah alih dan dalam talian. SCB sebelum ini pernah memenangi anugerah berkenaan pada tahun 2013, 2014 dan 2015.

Di samping Brunei, SCB turut menerima anugerah sama bagi cawangannya di negara-negara lain termasuk Bangladesh, Botswana, Ghana, Jersey, Kenya, Nepal, Nigeria, Pakistan, Sri Lanka, Tanzania, Thailand, Uganda, Zambia dan Zimbabwe.

Bank-bank yang memenangi anugerah berkenaan dipilih berdasarkan kekukuhan strategi menarik dan memberi layanan kepada pelanggan digital, berjaya membuatkan pelanggan menggunakan perkhidmatan digital, pertumbuhan pelanggan digital, jumlah tawaran produk, bukti nyata manfaat daripada inisiatif-inisiatif digital, dan reka bentuk dan kefungsian web/laman mudah alih.

Para pemenang dipilih dalam kalangan penyertaan yang dinilai oleh barisan panel hakim bertaraf dunia di Infosys, iaitu pemimpin global dalam konsultan, teknologi dan ‘outsourcing’.

Gambar ramai pegawai dan kakitangan SCB Brunei.
Gambar ramai pegawai dan kakitangan SCB Brunei.

Ketua Pegawai Eksekutif SCB Brunei, Rino (Donny) Donosepoetro dipetik sebagai berkata, “Anugerah ini adalah bukti kepada kerja dan usaha pasukan terhadap keseluruhan proses memberikan pengalaman superior kepada para pelanggan kami menerusi platform digital kami.

“Laman sesawang kami responsif pada semua peranti yang meningkatkan pengalaman pelanggan melayarinya dan kami terus menerus melabur ke dalam semua tawaran digital kami selaras dengan tabiat digital dan gaya hidup pelanggan, sementara mengekalkan standard keselamatan yang tinggi. Kami sangat gembira dengan anugerah ini dan saya mahu berterima kasih kepada semua pasukan yang terlibat atas usaha dan kerja keras mereka,” ujarnya.

Manakala itu, Penerbit dan Pengarah Editorial Global Finance, Joseph D. Giarraputo pula menekankan bahawa bank-bank runcit dan korporat paling berjaya di dunia adalah bank yang secara efektif telah mengubah diri mereka menjadi bank digital berintegrasi sepenuhnya, dengan fokus kuat terhadap pengalaman pengguna.

“Pemenang-pemenang anugerah tahun ini adalah bank-bank yang memahami bahawa pelanggan-pelanggan korporat dan runcit menjangkakan rakan-rakan kewangan mereka menyediakan akses mudah kepada pelbagai produk dan alat kewangan yang berintegrasi penuh ke dalam kehidupan digital mereka yang lebih luas,” tambahnya.

ARTIKEL YANG SAMA