SCDF, SAF sertai misi padam api

SCDF, SAF sertai misi padam api

SINGAPURA, 11 Okt – Pegawai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) telah dikerah semalam bagi misi membantu Indonesia memadam kebakaran hutan di Sumatera, sedang Presiden Indonesia Joko ‘Jokowi’ Widodo, menyasarkan masa dua minggu bagi memadamkan kebakaran sepenuhnya.

Akhbar Berita Harian Singapura melaporkan, SAF telah menghantar sebuah helikopter Chinook dan 34 pegawai manakala SCDF pula mengerahkan satu pasukan enam orang Bantuan Bencana dan Menyelamat (Dart) serta 5,000 liter air. Dua pesawat RSAF C-130 juga dihantar sebagai pengangkutan bagi pegawai SAF dan SCDF serta peralatan mereka semasa di sana.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef) semalam, para pegawai itu telah berlepas pada 12.30 tengah hari dari Pangkalan Udara Sembawang dan Pangkalan Udara Paya Lebar.

Ketua Angkatan Udara, Mejar Jeneral Hoo Cher Mou, dan Pesuruhjaya SCDF Eric Yap, telah berada di Pangkalan Udara Sembawang bagi menghantar pasukan mereka.

Pasukan bantuan dari Singapura sepatutnya dijadualkan tiba kelmarin tetapi ia terpaksa ditangguhkan disebabkan penglihatan yang tidak begitu baik.

Singapura telah menghantar pasukannya selepas Indonesia bersetuju menerima bantuan memadamkan kebakaran yang telah menyebabkan jerebu di rantau ini selepas beberapa kali menolak tawaran bantuan itu.

Selain daripada Singapura, ia turut meminta bantuan dari Malaysia, Rusia dan Jepun.

Menulis di laman Facebooknya, Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, mengutus ucap selamat kepada pegawai Singapura yang dikerah membantu Indonesia dan melahirkan harapan mereka akan pulang dengan selamat.

Dalam pada itu, Presiden Jokowi berkata pihak berkuasa menyasarkan akan dapat memadamkan kebakaran hutan di negara itu dalam masa dua minggu dengan bantuan negara lain.

ARTIKEL YANG SAMA