SCH juara Badminton

SCH juara Badminton

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Sekolah Chung Hwa (SCH) hanya terlepas satu pingat emas tetapi mengungguli Kejohanan Badminton bagi Sekolah-sekolah Rendah Kerajaan & Pendidikan Swasta Kawasan Brunei I, 2016 dengan catatan 3 pingat emas dan 1 gangsa.

Pesaing terdekatnya, Sekolah St Andrew juga tidak terlepas berada atas podium dalam keempat-empat kategori dengan pungutan 1 pingat emas dan 3 gangsa.

Kesemua tiga pesertanya yang meraih gangsa berkenaan gagal mara ke final selepas masing-masing ditewaskan pemain Sekolah Chung Hwa yang meraih emas di separuh akhir.

Pada peringkat akhir kejohanan di Sekolah Sukan, Kampung Pulaie hari ini berkenaan, Sekolah Chung Hwa meraih emasnya menerusi Kategori Perseorangan Lelaki, Beregu Lelaki dan Beregu Perempuan, manakala gangsa diraihnya melalui Kategori Perseorangan Perempuan.

Hadiah-hadiah bagi kejohanan tahunan anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Kementerian Pendidikan itu telah disempurnakan penyampaiannya oleh Pemangku Guru Besar Sekolah Rendah (SR) Pusar Ulak, Dayang Hajah Rozita binti Haji Ahmad.

Para pemenang dan guru mereka bergambar ramai bersama ahli jawatankuasa kejohanan dan Dayang Hajah Rozita (barisan tengah, empat kiri).
Para pemenang dan guru mereka bergambar ramai bersama ahli jawatankuasa kejohanan dan Dayang Hajah Rozita (barisan tengah, empat kiri).

Final perseorangan lelaki menyaksikan Ansong Huang Zhan Ming merangkul emas selepas menang straight set 21-7 dan 21-3 ke atas Mohd Khairul bin Hamdan dari SR Pengiran Anak Puteri (PAP) Besar. Gangsa dimenangi Giuseffe Ronnel bin Gisang dari Sekolah St Andrew.

Angelina Chiang May Ching dari Sekolah St Andrew menggenggam emas apabila menang straight set di perlawanan akhir Perseorangan Perempuan 21-6 dan 21-5 ke atas Nur Syaza Syamimi binti Herdey Wandey dari SR Saba Darat. Gangsa pula diraih Kuan Li Choo dari Sekolah Chung Hwa.

Dalam Kategori Beregu Lelaki, Welther Hing Wil Cheng dan Justin Lim Kok Jun memenangi emas menerusi kemenangan 21-5 dan 21-3 ke atas pasangan adik-beradik SR Sungai Kebun, Mohd Rafiee bin Samin dan Mohd Rizuan bin Samin di final, sementara Benjamin Yip Zhong Ming dan Caleb Liaw Wee Wen dari Sekolah St Andrew meraih gangsa.

Emas Beregu Perempuan pula dimenangi Peggy Wong Wen Chi dan Mave Lim Yu Rui selepas berjaya menewaskan Nurul Shalinawati binti Mohd Jefri dan Nurrasyidatul binti Awang Haji Hasnan dari SR Saba Darat 21-9 dan 21-2. Manakala gangsa dimenangi Jovinah Ashley Koh dan Chong Yu Shiuan dari Sekolah St Andrew.

ARTIKEL YANG SAMA