Schelotto kemudi baru Palermo

Schelotto kemudi baru Palermo

MILAN, 12 Jan (AFP) – Palermo melantik bekas pemain Argentina, Guillermo Barros Schelotto sebagai pengendali baharu bagi menggantikan Davide Ballardini yang dipecat selepas hanya dua bulan mengemudi pasukan Serie A itu.

“Guillermo Barros Schelotto adalah jurulatih baharu kelab Palermo,” kata kenyataan yang dipetik dalam laman web pasukan terbabit.

“Pengurus dari Argentina itu akan dibantu oleh Fabio Viviani, yang mula menyertai sesi latihan pasukan utama minggu lalu.”

Ballardini tiba kali kedua di kelab itu pada November lalu apabila dia menggantikan Giuseppe Iachini, yang menjadi jurulatih ke-29 dipecat oleh pemilik kelab Palermo, Maurizio Zamparini.

Di bawah Zamparini yang mengambil alih kelab sejak 2002, ramai jurulatih, termasuk Ballardini dipecat.

Palermo melantik bekas pemain Argentina, Guillermo Barros Schelotto sebagai pengurus baru kelab. – Reuters
Palermo melantik bekas pemain Argentina, Guillermo Barros Schelotto sebagai pengurus baru kelab. – Reuters

Keputusan menyingkirkan Ballardini daripada pasukan yang terkenal dengan gelaran The Sicilian itu gara-gara keputusan tidak konsisten sepanjang tempoh dua bulan di bawah kendaliannya.

Serba-serbi tidak menjadi bermula apabila terikat di Lazio sebelum mencatat empat kekalahan selain hanya dua kemenangan.

Palermo meraih kemenangan di Verona minggu lalu, tetapi dilaporkan bahawa Ballardini tidak bercakap dengan pemainnya walaupun berada di tepi padang sebelum atau selepas perlawanan.

Schelotto, 42, sebelum ini pernah membantu pasukan utama liga Argentina Lanus menjuarai Copa Sudamericana – saingan yang setanding dengan Liga Europa di Eropah pada 2013.

ARTIKEL YANG SAMA