Schmidt dihukum timbulkan kekecohan

Schmidt dihukum timbulkan kekecohan

BERLIN, 23 Feb (AFP) – Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB) telah memulakan prosiding disiplin ke atas jurulatih Bayer Leverkusen, Roger Schmidt selepas keengganan beliau untuk meninggalkan garisan ketika kekalahan pasukannya 1-0 di laman sendiri kepada Borussia Dortmund semalam.

“Ia adalah prosedur biasa dan terdapat hukuman walaupun saya tidak dapat menyatakan apakah hukuman tersebut,” Anton Nachreiner, presiden bagi jawatankuasa kawalan DFB, memberitahu stesen televisyen, Sport1.

Schmidt terlibat dalam pertengkaran bersama pengadil, Felix Zwayer berikutan jaringan Pierre-Emerick Aubameyang minit ke-64 di Bayerena yang memberikan kemenangan kepada Dortmund.

Dia diarahkan untuk berundur tetapi enggan meninggalkan kawasan teknikal, dan Zwayer bertindak dengan menghentikan perlawanan dan keluar padang bersama pembantunya.

Perlawanan dimulakan semula sembilan minit kemudian apabila Schmidt menerima keputusan pengadil.

Aksi Schmidt (kanan) ketika menyaksikan perlawanan Bayer Leverkusen menentang Borussia Dortmund. Schmidt dihukum selepas keengganan beliau untuk meninggalkan garisan ketika kekalahan pasukannya 1-0. – Reuters
Aksi Schmidt (kanan) ketika menyaksikan perlawanan Bayer Leverkusen menentang Borussia Dortmund. Schmidt dihukum selepas keengganan beliau untuk meninggalkan garisan ketika kekalahan pasukannya 1-0. – Reuters

Jurulatih itu, 48, berang bahawa Dortmund dibenarkan untuk mengambil sepakan bebas pantas bagi jaringan Aubameyang, tetapi dia kemudian memohon maaf.

“Saya melakukan kesilapan yang menjejaskan pasukan saya,” kata Schmidt kemudian, tetapi pengarah sukan Leverkusen, Rudi Voller mengkritik pengadil.

“Untuk menjejaskan perlawanan seperti itu dan mengakibatkan kekeliruan tidaklah perlu,” bekas pemain penyerang Jerman itu memberitahu Sky.

Herbert Fandel, ketua pengadil DFB, menegaskan Zwayer membuat keputusan tepat dan berkata bahawa “dalam mana keadaan jurulatih tidak boleh mengabaikan keputusan.”