Schneiderlin, Schwini sarung jersi Manchester United

Schneiderlin, Schwini sarung jersi Manchester United

LONDON, 14 Julai (AFP) – Manchester United melaungkan amaran kepada pesaingnya di Liga Perdana Inggeris selepas melakukan dua penyerapan dramatik pemain bintang, Bastian Schweinsteiger dan Morgan Schneiderlin ke Old Trafford.

Pengurus United, Louis van Gaal melakukan penambahbaikan terhadap bahagian tengah pasukannya bagi melengkapkan strategi perpindahan pemain.

Schweinsteiger yang membantu Jerman memenangi Piala Dunia Brazil serta pernah bersama dua tahun dengan van Gaal ketika di Bayern Munich, bersetuju dengan kontrak tiga tahun bersama United dengan nilai perpindahan mencecah 14.4 juta pound.

Schneiderlin, pemain antarabangsa Perancis, dibawa dari Southampton dengan yuran perpindahan 25 juta pound selepas bersetuju dengan empat tahun kontrak serta lanjutan setahun lagi.

Dua pemain tengah ini dijangka ke Manchester dalam masa terdekat untuk menyertai rakan sepasukan lain termasuk bintang baharu lain, Memphis Depay dan Matteo Darmian, dan bersama dalam lawatan pra-musim ke Amerika Syarikat.

Mereka dijangka melakukan penampilan pertama menyarung jersi United di Amerika ketika menentang kelab Mexico, Club America di Seattle pada 17 Julai ini.

Malah, satu lagi perkhabaran baharu untuk United apabila penjaga gol Sepanyol, David de Gea disahkan akan menyertai kelab itu dalam jelajah ke Amerika, sekali gus menolak desas-desus bahawa akan berpindah ke Real Madrid.

Schweinsteiger, 30, melakukan 500 kali penampilan bersama Bayern dan memenangi lapan kejuaraan Bundesliga Jerman serta mempunyai cap 111 untuk Jerman dan berjaya memenangi Piala Dunia 2014.

Schneiderlin, 25, yang turut diburu Arsenal dan Liverpool, melakukan aksi cemerlang bersama Southampton musim lalu dan berkata, masa depannya bertambah cerah selepas United menunjukkan minat membawanya ke kelab itu.

“Sebaik saya mendapat tahu United berminat untuk mengambil saya, saya tidak mempunyai masalah untuk membuat keputusan,” katanya.