Schooling mulakan perarakan kemenangan

Schooling mulakan perarakan kemenangan

SINGAPURA, 18 Ogos – Joseph Schooling, pemenang pingat emas Olimpik pertama Singapura – telah memulakan perarakan kemenangan di atas bas terbuka pada pagi ini.

Perarakan kemenangan itu akan menamatkan acara padat beliau selama empat hari sejak tiba di Singapura dari Rio de Janeiro pada pagi Isnin lalu, dua hari selepas beliau menewaskan legenda Amerika Syarikat Michael Phelps dan juara dunia Chad le Clos untuk memenangi acara 100 meter kuak kupu-kupu dengan masa rekod Olimpik baru di Rio 2016, lapor akhbar Berita Harian edisi online hari ini.

Perarakan itu bermula pada 9.50 pagi dari Hab Sukan. Schooling, 21 tahun, diiringi keluarga dan rakan-rakannya, termasuk ibu bapanya, Colin dan Mei, serta perenang negara Teo Zhen Ren.

Beliau kelihatan segar dan santai di dek atas bas, melambai-lambai kepada orang ramai, termasuk pelajar dan kakitangan Sekolah Tinggi Dunman yang berbaris di sepanjang Tanjong Rhu Road dan pelajar Sekolah Canada, yang menjerit ‘Schooling, Schooling’ dan mengibar bendera mini Singapura sepanjang Tanjong Katong Road.

Kereta di sepanjang Old Airport Road membunyikan hon sedang orang ramai bersorak dan melaungkan ‘Singapore, Singapore!’. Jejantas sepanjang laluan juga dipenuhi peminat yang tidak sabar untuk melihat kelibat bintang renang itu.

Joseph Schooling mengambil gambar selfie bersama orang ramai di Marine Terrace, Singapura kelmarin. – AFP
Joseph Schooling mengambil gambar selfie bersama orang ramai di Marine Terrace, Singapura kelmarin. – AFP

Perarakan tersebut terdiri daripada tiga perhentian – Pasar Marine Terrace, Singtel Comcentre Plaza di Somerset dan Pusat Beli-Belah Raffles City.

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Grace Fu dan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Tan Chuan-Jin dijadual menyambut rombongan itu di perhentian ketiga. Schooling akan turun di setiap perhentian untuk bertemu dan menyambut penyokong.

Pada Isnin lalu, Schooling membuat penampilan di Parlimen, di mana beliau secara rasmi diucapkan tahniah oleh Dewan kerana pencapaiannya. Perenang itu juga menerima berita bahawa penangguhan Perkhidmatan Negara (NS) beliau akan dilanjutkan hingga selepas Sukan Olimpik 2020 Tokyo.

Pada Selasa, beliau melawat sekolah lamanya, Sekolah Anglo-Chinese (Junior) di Winstedt Road. Pelajar Universiti Texas itu akan pulang ke Amerika, tempat beliau sedang melanjutkan pelajaran, pada awal pagi Jumaat.

ARTIKEL YANG SAMA