Schuerrle bantu Wolfsburg ke suku akhir

Schuerrle bantu Wolfsburg ke suku akhir

WOLFSBURG, 9 Mac(AFP) – Jaringan tunggal Andre Schurrle membantu Wolfsburg melangkah buat kali pertama ke suku akhir Liga Juara-Juara selepas menewaskan Gent 1-0 pada perlawanan semalam.

Selepas tewas 3-2 dalam aksi pertama di laman sendiri, Gent tiba di Jerman dengan sekurang-kurangnya perlu menjaringkan dua gol tetapi Schurrle melenyapkan harapan mereka dengan menyumbat gol ketika permainan berbaki 16 minit untuk membolehkan tuan rumah mara dengan agregat 4-2.

Gol itu berpunca daripada gerakan rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan Jerman, Julian Draxler, yang menyumbat dua gol dalam aksi pertama, dengan menggelecek pertahanan Gent, Nana Asare sebelum membuat hantaran silang yang disudahkan Schurrle.

Jaringan itu melengkapkan minggu bergaya buat pemain sayap Jerman itu selepas dia mencetak hatrik pertama minggu lalu ketika membelasah Hanover 4-0.

“Ia adalah perlawanan yang sukar. Kami hanya turun dengan misi bertahan dan menunggu untuk menyambar peluang. Pada akhirnya, kami berhak menang,” kata Schurrle.

Penjaga gol Gent, Matz Sels gagal menghalang ledakan Schuerrle pada perlawanan kedua 16 terakhir Liga Juara-Juara di arena Volkswagen, kelmarin. – AFP
Penjaga gol Gent, Matz Sels gagal menghalang ledakan Schuerrle pada perlawanan kedua 16 terakhir Liga Juara-Juara di arena Volkswagen, kelmarin. – AFP

Menjaringkan gol kemenangan berdepan Gent akan meningkatkan reputasi Schurrle di Wolfsburg, yang kini menduduki tangga ketujuh – empat mata daripada slot ke Liga Juara-Juara – dalam kancah liga Jerman.

“Kami berjaya melakukannya,” kata Klaus Allofs kepada Sky, tetapi pengarah sukan Wolfsburg itu mengakui kelabnya masih perlu pertingkatkan prestasi sekiranya mahu ke separuh akhir.

“Mungkin ada beberapa kes di mana ia akan menjadi amat sukar, tetapi ada juga beberapa pasukan yang kami tentang, kami mempunyai peluang selagi kita kami terus berusaha.”

Jurulatih Gent Hein Vanhaezebrouck berkata beliau mahu pasukannya menggoncang tuan rumah, tetapi pasukannya terhad kepada hanya enam sasaran ke arah gawang.

Hantaran silang rendah pemain Nigeria Musa Simon kurang bertenaga untuk menyempurnakan peluang terbaik Gents pada babak pertama sehingga cabaran mereka beransur-ansur pudar.

ARTIKEL YANG SAMA