Schuerrle, Goetze teruja hadapi Bayern

Schuerrle, Goetze teruja hadapi Bayern

BERLIN, 9 Ogos – Pemain baru Borussia Dortmund, Andre Schuerrle dan Mario Goetze mengakui mereka teruja ‘seperti kanak-kanak’ dengan prospek menghadapi Bayern Munich untuk persaingan Piala Super Jerman Ahad ini.

Dua pemain yang memenangi Piala Dunia bersama Jerman, hasil hantaran lintang Schuerrle yang disudahkan Goetze di Maracana, Rio de Janeiro untuk memenangi gelaran 2014 di Brazil, gembira menghadapi juara Jerman di Signal Iduna Park, Dortmund.

Kedua-dua pemain tahu mereka mempunyai sesuatu untuk dibuktikan musim ini ketika mengadakan sidang akhbar Dortmund pertama di kem latihan di Bad Ragaz, Switzerland semalam.

Goetze kembali semula ke Dortmund selepas tiga tahun yang sukar di Bayern, sementara Schuerrle, 25, tiba selepas 18 bulan di Wolfsburg berikutan dua musim di Chelsea di mana dia gagal untuk berada dalam pasukan pertama.

Goetze (kiri) dan Schuerrle mengakui teruja dengan prospek menghadapi Bayern Munich untuk persaingan Piala Super Jerman Ahad ini. – AFP
Goetze (kiri) dan Schuerrle mengakui teruja dengan prospek menghadapi Bayern Munich untuk persaingan Piala Super Jerman Ahad ini. – AFP

Schuerrle berkata dia ‘seperti kanak-kanak’ menjelang kemunculannya, sementara Goetze gembira kembali dengan jersi hitam dan kuning, tetapi mengakui tetap merasa gentar dengan penerimaan selepas tiga musim bersama musuh Dortmund.

“Saya tak tahu bagaimana keadaan di stadium Ahad ini. Saya harap segalanya berjalan dengan baik,” katanya. “Ia sesuatu yang lama dan pada masa sama, sesuatu yang baru.

“Apabila Borussia Dortmund menunjukkan minat, saya memutuskan untuk pulang walaupun hanya ada beberapa bulan saja lagi di Bayern.”

Setelah menyertai Bayern dengan bayaran 37 juta euro (AS$40) pada 2013, Goetze yang baru berusia 24 tahun, menghabiskan kebanyakan masanya tiga tahun lalu sama ada mengalami kecederaan atau di bangku simpanan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA