Schuerrle lakar hatrik pertama

Schuerrle lakar hatrik pertama

BERLIN, 2 Mac (AFP) – Andre Schuerrle melakar hatrik pertamanya dalam kancah Bundesliga ketika membantu Wolfsburg menang bergaya 4-0 ke atas Hanover 96, semalam.

Kemenangan itu membolehkan Wolfsburg bangkit semula selepas tewas kepada pendahulu, Bayern Munich 2-0 di laman sendiri, Sabtu lalu.

Tetapi sebelum itu, Schuerrle yang berusia 25 tahun jelas bergelut untuk berada dalam barisan utama pasukan sejak berpindah dari Chelsea setahun lalu.

“Malam ini saya bermain lebih kepada tugas menyerang dan ia membuahkan hasil. Sudah pasti saya gembira,” kata Schuerrle.

Nyata tarikh 1 Mac menjadi hari bertuah buat Schuerrle yang turut merakam hatrik ketika Chelsea menentang Fulham dalam saingan Liga Perdana Inggeris, dua tahun lalu.

Schuerrle melakar hatrik pertamanya dalam aksi Bundesliga ketika membantu Wolfsburg menang 4-0 ke atas Hanover 96, semalam. – Reuters
Schuerrle melakar hatrik pertamanya dalam aksi Bundesliga ketika membantu Wolfsburg menang 4-0 ke atas Hanover 96, semalam. – Reuters

Hatrik Schuerrle hadir dalam tempoh 26 minit sebelum Julian Draxler melengkapkan gol keempat Wolfsburg di HDI Arena.

Schurrle membuka jaringan dengan merembat hantaran Draxler pada minit ke-36. Dia menggandakan jaringan pada minit ke-59, kemudian menyumbat gol ketiga kurang daripada tiga minit selepas itu apabila menampan bola dengan dada dan merembat dengan kencang.

Dia hampir menjaringkan gol keempat pada minit ke-69. Kemenangan itu meninggalkan Wolfsburg di tangga kelapan manakala Hanover dibawah dengan enam mata dari zon selamat.

FA Jerman (DFB) dijangka mendenda kedua-dua kelab selepas salah suar dinyalakan dari blok pasukan pelawat dan terkena tempat duduk penyokong Hanover sebelum sepak mula, tetapi tiada penyokong cedera.

ARTIKEL YANG SAMA