Schwartzel bangkit tewaskan Haas

Schwartzel bangkit tewaskan Haas

MIAMI, 14 Mac (AFP) – Pemain Afrika Selatan, Charl Schwartzel, juara Masters 2011, melakukan par pada playoff pertama untuk menewaskan Bill Haas dari Amerika untuk menjulang kemenangan di Kejohanan Valspar Jelajah PGA Amerika Syarikat.

Schwartzel memenangi gelaran profesional ke-15 yang juga kali pertama sejak Terbuka Tshwane di Jelajah Eropah bulan lalu dan kali pertama di Jelajah AS sejak dia melakukan birdie pada empat lubang terakhir di Augusta National untuk merangkul major pertama lima tahun lalu.

Pada saingan playoff di lubang ke-18, par 4, pada pukulan kedua Haas berakhir di bunker manakala pukulan Schwartzel menemui tengah green.

Pukulan ketiga Haas, 33, melewati lubang sejauh 25 kaki manakala pukulan putt Schwartzel, 31, kurang dua kaki dari lubang.

Haas berakhir dengan bogey tetapi Schwatzel mencipta par untuk merangkul kejayaan. Schwartzel mencipta sejarah kebangkitan hari terakhir untuk memenangi kejohanan, satu pukulan lebih baik daripada kebangkitan empat pukulan yang dilakukan pemain Australia, John Senden pada final 2014.

Schwartzel selepas melakukan par pada playoff pertama menewaskan Bill Haas dari Amerika, sekali gus menjulang kemenangan di Kejohanan Valspar Jelajah PGA Amerika Syarikat. – AFP
Schwartzel selepas melakukan par pada playoff pertama menewaskan Bill Haas dari Amerika, sekali gus menjulang kemenangan di Kejohanan Valspar Jelajah PGA Amerika Syarikat. – AFP

“Ia adalah pusingan yang sangat baik untuk saya,” kata Schwartzel.

“Saya rasa sasaran semua orang adalah untuk mengelakkan bogey di kad. Anda hanya perlu menyelamatkan diri. Ia adalah sangat sukar.”

Pemain Amerika Syarikat, Ryan Moore yang melakukan par di 12 lubang terakhir, berada di kedudukan ketiga dengan 279 pukulan manakala pemain amatur berusia 22 tahun, Lee McCoy yang berpasangan dengan pemain nombor satu dunia, Jordan Spieth, berada di tempat keempat dengan 280 pukulan.

Spieth, juara bertahan Terbuka AS dan Masters, awal-awal lagi terkeluar daripada saingan apabila melakukan bogey di lubang kedua, double bogey di lubang kelapan dan bogey di lubang ke-11 untuk catatan 73 bawah par dan berkongsi tempat ke-18 dengan catatan keseluruhan 284 pukulan.