Schwini intai kejayaan di Old Trafford

Schwini intai kejayaan di Old Trafford

SEATTLE, 16 Julai – Bastian Schweinsteiger semalam mendedahkan prospek bermain di hadapan penyokong Manchester United di ‘Panggung Impian’ ikonik Old Trafford telah membantu beliau untuk meninggalkan Bayern Munich.

Pemain berusia 30 tahun dan jeneral midfield yang menjulang Piala Dunia 2014 itu melengkapkan perpindahan 14 juta pound (AS$21.72 juta) ke United Isnin lalu selepas bersetuju dengan perjanjian tiga tahun bersama kelab itu.

Perpindahan ke Manchester menyatukan semula Schweinsteiger dengan bekas bos Bayern Louis van Gaal, yang menjalin ikatan kukuh dengan midfield itu semasa mengecapi kejayaan bersama gergasi Bundesliga itu antara 2009 dan 2011.

Schweinsteiger yang menyertai United serta-merta untuk jelajah pra-musim di AS memberitahu wartawan di Seattle semalam bahawa beliau tidak sabar-sabar untuk bekerjasama dengan van Gaal lagi, tetapi prospek bermain untuk United di Old Trafford merupakan daya tarikan terbesarnya, katanya.

“Sudah tentu kami mengenali satu sama lain. Kami mempunyai masa yang indah tetapi di sini saya bermain untuk United kerana United adalah kelab besar dan saya tidak sabar-sabar untuk bermain di stadium yang besar,” kata Schweinsteiger.

Schwi bercakap kepada media bersama  rakan sepasukan Matteo Darmian dan Morgan Schneiderlin (tidak kelihatan) semasa diperkenalkan di Bellevue, Washington semalam. – Reuters
Schwi bercakap kepada media bersama rakan sepasukan Matteo Darmian dan Morgan Schneiderlin (tidak kelihatan) semasa diperkenalkan di Bellevue, Washington semalam. – Reuters

Schweinsteiger berkata sokongan Old Trafford telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada beliau semasa suku akhir Liga Juara-Juara 2010 ketika Bayern tewas 3-2 kepada United gol berdasarkan jaringan di tempat lawan.

“Para penyokong United begitu besar. Saya ingat ketika kami tewas 3-2 di sana dan mara ke pusingan seterusnya tetapi penyokong mereka begitu santun selepas perlawanan dengan memberikan kami tepukan dan saya melihat ke depan untuk beraksi di hadapan penyokong ini,” kata Schwini.

Schweinsteiger berkata beliau sudah mula mengintai trofi pada acara kemuncak kerjayanya selepas memenangi setiap penghormatan bersama Bayern.

“Saya tidak dapat menjamin gelaran tetapi saya boleh menjamin kami akan memberikan yang terbaik untuk berjaya. Saya amat gembira berada di sini dan bermain untuk United. Ia adalah satu penghormatan yang besar. Sudah tentu ia merupakan satu langkah baru dalam hidup saya,” katanya.

“Saya mahu memenangi gelaran. Mudah saja. ​​ United biasa dengan itu dan saya sudah biasa dengan perkara yang sama. Itulah matlamat untuk tahun-tahun seterusnya di Manchester.”

Schweinsteiger dapat beraksi untuk United dalam perlawanan pembukaan Piala Juara Antarabangsa esok berdepan Club America dari Mexico di CenturyLink Field yang menjadi gelanggang kepada Seattle Seahawks NFL. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA