SCO bincang ancaman IS

SCO bincang ancaman IS

BEIJING, 6 Julai (AFP) – Presiden China Xi Jinping, Presiden Rusia Vladimir Putin dan pemimpin lain akan membincangkan ancaman yang ditimbulkan oleh kumpulan Islamic State (IS) di Afghanistan pada satu sidang kemuncak keselamatan Eurasia di Rusia pada minggu ini, kata seorang pegawai China, hari ini.

Xi berkunjung ke bandar Rusia Ufa untuk menghadiri sidang kemuncak pemimpin Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), yang mengumpulkan China, Rusia, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan Uzbekistan pada Khamis dan Jumaat.

Ia akan didahului oleh satu mesyuarat pemimpin kumpulan ekonomi membangun BRICS – Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.

“Disebabkan kesan berlarutan kegiatan pengganas Islamic State, Afghanistan kini menghadapi keadaan keselamatan yang serius,” beritahu timbalan menteri luar China Cheng Guoping kepada wartawan.

Pemimpin SCO “pastinya akan mengadakan perbincangan mengenai isu Afghan,” tambah beliau.

“Dan mereka akan berbincang selanjutnya mengenai cara-cara bertindak terhadap keadaan keselamatan di sana.”

China berusaha menarik perniagaan di Afghanistan dan bersikap sensitif terhadap mana-mana kesan fahaman pelampau Islam dari negara itu, yang mempunyai sempadan dengan kebanyakan rantau barat Xinjiang.

Militan Afghanistan Taliban berusaha menghentikan pembelotan kepada IS selepas beberapa pemberontak menggunakan benderanya untuk mengubah semula nama mereka sebagai satu kuasa yang lebih menggentarkan tatkala tentera NATO meninggalkan negara.

Pada bulan lalu, Taliban mengingatkan pemimpin kumpulan IS supaya jangan melancarkan pemberontakan di Afghanistan, selepas pertempuran di antara militan yang setia kepada kedua-dua kumpulan.

Afghanistan mempunyai status “pemerhati” dalam SCO, bersama India, Iran, Mongolia dan Pakistan, menurut laman web kumpulan.

ARTIKEL YANG SAMA