SCOT berjaya kumpul lebih 3,000kg barang terpakai

SCOT berjaya kumpul lebih 3,000kg barang terpakai

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Persatuan SCOT (The Society for Community Outreach and Training) berjaya mengumpulkan lebih 3,000 kilogram barang terpakai dan kitar semula pada penganjuran Projek Green Xchange Kelapan (GX8) yang diadakan di Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Bolkiah ‘A’.

Jumlah kutipan itu menjadikan jumlah keseluruhan kutipan bahan kitar semula projek Green Xchange anjuran SCOT sehingga hari ini mencecah lebih 39 metrik tan yang akan dibeli oleh sebuah syarikat kitar semula yang juga rakan SCOT, Kawan Bumi Sdn Bhd untuk dieksport ke luar negara.

Hadir pada upacara penutup program kemasyarakatan itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Pengurus Projek GX8, Dayang Amal Nisyyah binti Haji Abdul Mulok yang menghargai sokongan dan usaha mereka yang turut menjayakan projek itu berkata, kempen pada hari ini adalah yang kedua diadakan di Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sejak yang pertama diadakan hampir lima tahun lalu dan berjaya mengumpul kira-kira satu metrik tan bahan kitar semula.

Katanya, dengan sokongan dan bantuan daripada para penaja dan rakan SCOT seperti DST, Kawan Bumi Sdn Bhd, Royal Brunei Catering, Ideal Food Industries dan beberapa syarikat lain, projek kali ini berjaya mengumpulkan tiga kali ganda jumlah yang dicapai pada 2011.

Ahli SCOT bersama rakan SCOT yang menjayakan GX8.
Ahli SCOT bersama rakan SCOT yang menjayakan GX8.

Katanya lagi, syarikat tempatan yang prihatin memberikan sokongan dan bantuan terhadap perjuangan SCOT untuk membasmi kemiskinan di negara ini melalui projek yang mereka anjurkan.

Pada kempen GX8 kali ini, DST telah menyumbangkan sejumlah 511 kilogram beras untuk ditukarkan dengan bahan terpakai yang diserahkan oleh orang ramai.

Projek Green Xchange adalah projek serampang dua mata yang mana rakyat berpendapatan rendah mendapat pulangan sambil mereka sendiri menyumbang kepada alam sekitar dengan mengumpulkan bahan terpakai yang tidak digunakan lagi dan ditukarkan dengan barangan kemudahan asas seperti beras.

Sebanyak 3,050.164 kg bahan kitar semula seperti kertas, botol plastik, aluminium dan logam berjaya dikumpul dari kawasan perumahan Kampung Bolkiah ‘A’ dan ‘B’ hari ini.

Bagi setiap bahan kitar semula yang bernilai $1 yang ditukarkan, penduduk itu akan menerima beras seberat satu setengah kilogram.

Pengarah Urusan Syarikat Kawan Bumi Sdn Bhd, Mr Lim, berkata semua barang yang dikumpulkan itu akan dibeli dan diasing-asingkan oleh 10 orang pekerjanya dan bahan tersebut akan dieksport ke negara jiran untuk dikitar semula.

Syarikat Kawan Bumi Sdn Bhd adalah rakan yang tidak asing lagi dengan projek Green Xchange kerana sudah lapan kali menyertai kempen seperti itu.

ARTIKEL YANG SAMA