Scott, Garcia dahului PGA Honda Classic

Scott, Garcia dahului PGA Honda Classic

MIAMI, 28 Feb (AFP) – Pemain Australia, Adam Scott dan Sergio Garcia dari Sepanyol mengambil alih bersama kedudukan pendahulu Jelajah PGA AS Honda Classic selepas pusingan ketiga, berakhir sebentar tadi.

Scott yang juga juara Masters 2013 mencatat empat di bawah par 66 manakala Garcia yang mencari gelaran PGA AS pertama sejak 2012, mencatat 67 pukulan untuk membolehkan kedua-dua pemain terbabit berkongsi penguasaan dengan sembilan di bawah par 201.

Pemain Amerika Syarikat, Blayne Barber ketiga dengan 205 pukulan, satu pukulan di depan Rickie Fowler dan dua pukulan mengatasi pemain Ireland Graeme McDowell, Vijay Singh dari Fiji serta rakan senegaranya, Scott Brown.

Scott membenam tujuh birdie dalam 13 lubang pertama untuk merampas kedudukan pendahulu dengan 12 di bawah par.

Sergio dan Scott ketika pusingan ketiga Jelajah PGA AS Honda Classic. – Reuters
Sergio dan Scott ketika pusingan ketiga Jelajah PGA AS Honda Classic. – Reuters

Bintang Australia itu berjaya mengekalkan rekod 39 lubang tanpa bogey sebelum bencana menimpanya pada lubang ke-15 par tiga.

Scott melepaskan pukulan tee ke dalam kolam dan pukulan susulannya selepas itu pula menyaksikan bola mendarat di luar kawasan green untuk menuju ke dalam air sekali gus merakam catatan empat bogey berganda bagi meranap kelebihan tiga pukulan kepada hanya satu pukulan ke atas Garcia.

ARTIKEL YANG SAMA