Scott nafi khianat

Scott nafi khianat

SYDNEY, 18 Sept (AFP) – Scott Morrison, lelaki yang diramalkan menjadi bendahari Australia seterusnya, dalam rombakan kabinet yang bakal muncul, hari ini dengan marah mempertahankan dirinya terhadap tuduhan bahawa dia telah mengkhianati bekas perdana menteri Tony Abbott.

Menteri Perkhidmatan Sosial itu, menolak idea bahawa dia telah berjanji dengan Perdana Menteri baru, Malcolm Turnbull supaya dia boleh dinaikkan pangkat selepas penyingkiran Abbott.

“Saya tidak berperanan dalam penyingkirannya,” katanya tentang Abbott yang disingkirkan dalam undian sebagai pemimpin parti Liberal dan kerajaan, pada Isnin lalu.

Morrison berkata, dia telah memberi amaran kepada Abbott tentang prospek cabaran, dan memberitahu pejabat perdana menteri minggu lalu bahawa ‘keadaan agak panas dan mereka seharusnya dalam langkah amat berwaspada’

Morrison diramalkan dilantik menjadi Bendahari di bawah Turnbull, seorang liberal sosial meskipun mengundi bagi Abbott dalam pertandingan kepimpinan di Canberra.

Menurutnya hari ini, dia tidak pernah membuat sebarang janji dengan Turnbull dan hanya Abbott telah menawarkannya jawatan setakat ini dan dia telah menolaknya.

Ketika Turnbull bersedia untuk mengumumkan kabinet barunya, surat khabar Australia melaporkan kini berlaku kekacauan dalam parti Liberal berhubung bagaimana untuk memberi ganjaran kepada mereka yang telah membantu beliau mengadakan rampasan kuasa.

Antara mereka yang dilaporkan berperanan dalam kebangkitan Turnbull ialah Senator Queensland James McGrath, yang dalam tahun 2008 telah membantu Boris Johnson, Konservatif Britain untuk memenangi kempen datuk bandar London.

Tinjauan pendapat ke atas 1,224 orang pengundi diadakan Isnin dan Selasa juga memilih Turnbull sebagai perdana menteri adalah pada 51 peratus berbanding ketua parti Buruh, Bill Shorten, 20 peratus.

ARTIKEL YANG SAMA