SEB bina kemudahan pembuatan tren RM56 juta di Sao Paulo

SEB bina kemudahan pembuatan tren RM56 juta di Sao Paulo

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) – Kemudahan pembuatan Scomi Engineering Bhd (SEB) di Sao Paulo, Brazil, yang mencontohi kemudahan utamanya di sini, dijangka dapat mengukuhkan kedudukan kumpulan di pasaran.

Kemudahan yang melibatkan kos sebanyak 50 juta Real Brazil (kira-kira RM56 juta), dibina di kawasan seluas 98,000 meter persegi, akan digunakan untuk mengeluarkan tren monorel, termasuk gerabak dan bogi.

Tapak berkenaan diberikan kepada SEB oleh kerajaan Sao Paulo sebagai pengiktirafan komitmen syarikat untuk membangunkan infrastruktur pengangkutan bandar Brazil itu, demikian menurut SEB dalam satu kenyataan hari ini.

SEB mengadakan majlis pecah tanah bagi kemudahan itu, di Taubate, Tenggara Brazil pada 10 Mac, yang dihadiri Gabenor Sao Paulo Geraldo Alckmin, Datuk Bandar Taubate Jose Bernardo Ortiz Monteiro Jr dan para pegawai pihak berkuasa bandar raya Sao Paulo.

SEB diwakili Presiden Negara bagi Operasi Brazil, Hilmy Zaini Zainal.

“Pelaburan ini adalah sebahagian daripada strategi kami untuk menumpukan pembuatan tren monorel setempat. Ini akan membantu kami meningkatkan kecekapan pengeluaran dan pembangunan modal insan tempatan melalui peluang pekerjaan,” kata Hilmy.

Semua proses serta reka bentuk pembuatan akan seiring dengan pusat pembuatan Kuala Lumpur.

Kemudahan di Taubate yang strategik terletak antara dua bandar paling penting di Brazil iaitu Sao Paulo dan Rio de Janeiro, dengan akses yang baik ke pelabuhan dan rangkaian jalan utama, katanya.

“Kami telah berada di pasaran Brazil selama beberapa tahun. Sejak mendapat kontrak monorel pertama kami bagi Line 17 – Gold, kami meneruskan usaha dengan meraih dua lagi projek Brazil, Manaus and Line 18 – Bronze.