SEB laksana ujian turbin gas

SEB laksana ujian turbin gas

MIRI, 31 Julai (Bernama) – Sarawak Energy Bhd (SEB) akan menjalankan ujian unit turbin gas selama kira-kira dua minggu sebelum membekalkan elektrik tambahan ke Miri.

Menurut SEB dalam satu kenyataan, syarikat akan memasang dan menguji unit turbin gas berkenaan mulai esok sehingga 16 Ogos ini.

“Ujian ini penting sebagai persediaan sebelum operasi komersial.

“Unit turbin gas berkenaan boleh menyediakan kapasiti penjanaan tambahan sebanyak 30MW bagi Miri.

“Walaupun syarikat menjangka ujian tersebut akan berjalan lancar, pasukan teknikal SEB tetap bersedia untuk membetulkan dengan segera sebarang gangguan bekalan yang mungkin berlaku dalam tempoh ujian ini,” katanya.

SEB berkata ujian selama dua minggu itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan menaik taraf dan kerja-kerja pengukuhan sistem.

SEB meminta kerjasama pelanggannya di Miri dalam usaha syarikat untuk terus memperbaiki dan memperkukuhkan bekalan elektrik, katanya.