SEB peruntuk RM220,000 tambah baik lampu jalan di Miri

SEB peruntuk RM220,000 tambah baik lampu jalan di Miri

MIRI, 21 Jun (Bernama) – Sarawak Energy Berhad (SEB) akan memperuntukkan sebanyak RM220,000 bagi menambah baik lampu jalan sepanjang Jalan Lutong-Kuala Baram di sini.

Naib Presiden Kanan SEB (Pengedaran) Lau Kim Swee berkata penambahbaikan lampu jalan tersebut sebahagian besarnya adalah untuk mengelakkan insiden laku musnah dan kecurian yang menyebabkan kerugian sebanyak RM95,000 kepada syarikat bagi kerja-kerja pembaikan dan penggantian alat-alat sejak 2015.

“Terdapat 630 tiang lampu jalan di laluan Lutong-Kuala Baram dan kerja-kerja pembaikan akan bermula bagi lampu jalan berdekatan kawasan kediaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lau berkata kerja-kerja penambahbaikan termasuk menggantikan kabel bawah tanah di bawah lampu jalan yang mudah digali oleh pencuri. “Sila lapor sebarang aktiviti yang mencurigakan di kawasan itu. SEB boleh dihubungi di talian 1300-88-3111 dan maklumat yang diberikan adalah rahsia,” katanya.