Sebahagian bangunan KWSP PJ terbakar

KUALA LUMPUR, 13 Feb – Sebahagian daripada bangunan enam tingkat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Gasing, Petaling Jaya, dijilat api tengah hari ini.

Usaha anggota Bomba dan Penyelamat yang sedang berusaha memadamkan kebakaran itu menarik perhatian orang ramai. Asap tebal dan api yang menjulang kelihatan dari sebahagian bangunan itu yang terletak bersebelahan Lebuhraya Persekutuan itu.

Kejadian itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas di lebuh raya terbabit.

Sementara itu, menurut Ketua Komunikasi Korporat KWSP Nurin Mastura Din Merican, maklumat daripada pihak bomba mengatakan kebakaran itu kini telah dapat dikawal. Beliau yang dihubungi Bernama berkata semua kakitangan telah keluar dengan selamat dari bangunan berkenaan dan setakat ini tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

“KWSP akan mengeluarkan kenyataan mengenai insiden ini nanti, ” katanya.

Menurut Mohd Hafiz Mat Dali, Komander Operasi Bomba di tempat kejadian, hampir 40 peratus bangunan enam tingkat itu terbakar.

Punca kebakaran masih belum diketahui setakat ini.

Dalam pada itu, menurut laporan awal Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 11:53 pagi ini dan sampai di lokasi pada pukul 11:58 pagi.

Susulan kebakaran itu, masing-masing dua jentera dari Balai Bomba Seksyen 7 Petaling Jaya, Balai Bomba Penyelamat Damansara, Balai Bomba Penyelamat Pelabuhan Klang, Balai Bomba Penyelamat Hang Tuah dan Balai Bomba Penyelamat Pantai dikerah ke tempat kejadian untuk me-ngawal keadaan.

Operasi itu melibatkan 43 anggota termasuk tiga pegawai. Menurut Mohd Hafiz Mat Dali, Komander Operasi Bomba di tempat kejadian, hampir 40 peratus bangunan enam tingkat itu terbakar. Punca kebakaran masih belum diketahui setakat ini. – Bernama