Sebahagian besar Mexico tidak dilanda Patricia

Sebahagian besar Mexico tidak dilanda Patricia

CHAMELA, Mexico, 25 Okt (AFP) – Patricia meratakan sebuah perkampungan desa nelayan di pantai Pasifik Mexico, namun pihak berkuasa merasa lega semalam apabila ribut taufan itu tidak melanda sebahagian besar negara itu dan semakin lemah ketika ia bergerak ke utara.

Rumah yang dibuat dari kayu dan batu bata beratapkan timah dan daun palma milik 40 buah keluarga di kampung Chamela telah diterbangkan apabila Patricia melanda dalam Kategori Lima di negeri Jalisco lewat Jumaat lalu.

Keluarga-keluarga itu terselamat kerana mereka berpindah ke tempat perlindungan sebelum ribut mencecah, yang berlaku hanya 20 kilometer ke selatan.

Penduduk kampung kembali semalam untuk mengutip serpihan-serpihan dan mengadu kerajaan tidak memberi sebarang bantuan.

“Kami tidak mempunyai apa-apa. Harta benda saya telah lenyap,” kata Griselda Hernendz, sambil melihat ruang tanpa dinding atau atap yang pernah menjadi rumahnya.

Sementara penduduk Chamela kehilangan hampir segala-galanya, kebanyakan di rantau itu mengalami sedikit kerosakan dan pihak berkuasa berasa gembira bahawa tidak ada kematian dilaporkan.

Presiden Enrique Pena Nieto telah menarik balik amaran ribut taufan bagi negeri-negeri Jalisco, Colima dan Nayarit ketika beliau melawat rantau itu, dengan mengatakan bahawa kerosakan ‘lebih kecil dari yang dijangkakan.’

Hotel-hotel di pinggir laut bebas telah memindahkan para tetamu mereka di Puerto Vallarta sebelum ketibaan Patricia, sementara beribu-ribu orang pelancong dipindahkan dengan bas atau kapal terbang, ramai dibawa ke tempat perlindungan. Tetapi akhirnya bandar itu hanya mengalami sedikit kerosakan.