Sebahagian jalan perlu punya nama khas

Sebahagian jalan perlu punya nama khas

SEBAGAI peminat dan pembaca setia Media Permata, sejak akhbar ini mula diterbitkan, saya mengucapkan setinggi- tinggi tahniah dan syabas kerana Media Permata telah maju setapak lagi dengan memperkenalkan ruangan terbarunya, e-mel dari pembaca.

Dahulunya dikenali sebagai Surat Dari Pembaca telah menghilang begitu lama dan sekarang kembali dengan nama e-mel dari pembaca dan syabas sekali lagi.

Ruangan ini memang dinanti-nantikan oleh orang seperti saya lebih-lebih lagi mereka yang kurang arif dalam bahasa Inggeris sama ada pertuturan atau penulisan.

Saya berharap ruangan ini akan berpanjangan untuk memberi peluang kepada orang ramai memberikan pandangan, cadangan dan ulasan bagi kepentingan masyarakat Brunei.

Saya ada beberapa cadangan dan pandangan untuk dikemukakan, antaranya ialah mengenai nama-nama jalan.

Banyak lagi jalan di negara ini belum mempunyai nama khasnya dan ada juga nama-nama jalan itu mengelirukan.

Antara jalan yang belum diberi nama ialah simpang177 Rimba dan jalan yang menuju Pasar Raya Giant. Malahan tidak ada tanda Simpang atau jalan, walhal jalan ini adalah penting kerana sudah ada pejabat pos, balai bomba dan penyelamat dan taman permainan. Simpang jalan ini perlu juga dibuatkan pusing keliling mini.

Begitu juga halnya dengan Simpang 396 yang menuju ke Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Sekolah-sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sekolah Al-Falah, bangunan-bangunan kedutaan dan suruhanjaya tinggi negara sahabat, sepatutnya diberikan nama khasnya, misalnya Jalan Kebudayaan atau Jalan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah atau Jalan Kedutaan atau Jalan Suruhanjaya Tinggi.

Sementara Jalan Stadium juga, saya kira perlu diubahsuai kerana pada masa ini terdapat banyak jalan di kawasan stadium. Sekiranya, jalan-jalan ini diberi nama berbeza seperti misalnya, Jalan Stadium Satu, Dua, Tiga dan seterusnya atau Jalan Stadium Utara, Timur, Selatan dan Barat.

Ini akan menyenangkan untuk didatangi, apabila ada kecemasan untuk memberikan bantuan dan pertolongan.

Begitu juga semua pusing keliling atau ‘round about’ di seluruh negara eloklah diberikan nama khas lengkap dengan papan tandanya misalnya Pusing Keliling Lapangan Terbang, Pusing Keliling JPM (depan JPM), Pusing Keliling Hassanal Bolkiah bagi Pusing Keliling depan Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah. Sekian sahaja cadangan saya.

Awang Marol

ARTIKEL YANG SAMA